fbpx

Mohd. Hamdi Naib Canselor UM baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Hamdi

PUTRAJAYA – Prof. Datuk Mohd. Hamdi Abd. Shukor dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Malaya (UM) baharu berkuat kuasa 1 November hingga 31 Oktober 2023.

Mohd. Hamdi, 49, akan menggantikan Datuk Abdul Rahim Hashim yang akan tamat kontrak pada 31 Oktober.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan berkata, pelantikan itu dibuat selepas Jawatankuasa Tetap Pemilihan Naib Canselor Universiti Awam bersidang dan membuat penilaian terhadap calon-calon pada 5 Oktober lalu.

Katanya, kementerian percaya dengan pelantikan itu, Mohd. Hamdi dapat meneruskan kesinambungan pencapaian dan sumbangan beliau dalam mengekalkan pencapaian dan kegemilangan UM sebagai universiti penyelidikan terkemuka di negara ini.

“Beliau telah berkhidmat sebagai Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selama hampir dua tahun.

Beliau juga pernah memegang jawatan pentadbiran dan akademik yang lain seperti Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), UM,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Hamdi berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal) dari Imperial College, London, England selain turut memiliki Ijazah Sarjana Sains dalam Pembuatan Teknologi Lanjutan dan Pengurusan Sistem dari University of Manchester Institute Science and Technology, United Kingdom.

Beliau juga memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD), Doctor of Engineering on Thin Film Coating for Biomedical Applications dari Universiti Kyoto, Jepun.

Sementara itu, KPT merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Abdul Rahim atas segala sumbangan dan kepimpinan beliau selama ini sehingga UM dinobatkan sebagai di antara universiti terbaik dunia.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI