fbpx

Henti guna vaksin SKYCellflu Quadrivalent, VaxigripTetra

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) menasihatkan kepada semua pengamal perubatan agar menghentikan sementara penggunaan produk vaksin SKYCellflu Quadrivalent dan VaxigripTetra.

Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, Datin Dr. Faridah Aryani Md. Yusof berkata, ini berikutan terdapat kes kematian dikaitkan dengan kedua-dua produk vaksin tersebut di Korea Selatan berdasarkan laporan Health Science Authority (HSA) Singapura, pada 25 Oktober lalu bertajuk ‘Temporary Cessation on The Use of Two Influenza Vaccines’.

Menurutnya, terdapat sembilan produk vaksin influenza yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) Malaysia termasuk dua produk vaksin influenza iaitu SKYCellflu Quadrivalent dan VaxigripTetra.

Bagaimanapun, katanya, hanya vaksin VaxigripTetra, ‘Suspension for Injection in Prefilled Syringe’ sahaja yang dibekalkan di fasiliti kementerian.

“Syarikat Sanofi Pasteur iaitu pengeluar produk VaxigripTetra turut memaklumkan nombor kelompok produk VaxigripTetra yang digunakan di Korea Selatan tidak terdapat di pasaran negara lain termasuk Malaysia.

“Setakat ini tiada kes kematian yang dilaporkan susulan imunisasi vaksin influenza (Quadrivalent) di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Faridah berkata, sebagai langkah berjaga-jaga, pihaknya menasihatkan agar pengamal perubatan menghentikan sementara penggunaan produk vaksin SKYCellflu Quadrivalent dan VaxigripTetra.

Beliau berkata, kementerian akan memaklumkan perkembangan berkenaan dengan situasi itu  setelah mendapat maklumat lanjut.

“Kementerian juga akan menjalankan pemantauan secara berterusan melalui program pemantauan mutu produk berdaftar dan farmakovigilans bagi memastikan kualiti , keselamatan dan keberkesanan ubat-ubatan sentiasa terjamin,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI