fbpx

Dua maut, 26 hilang ketika Taufan Molave badai Vietnam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN - AFP

HANOI, Vietnam – Dua orang terkorban dan 26 yang lain hilang ketika Taufan Molave ​​membadai tengah Vietnam hari ini dengan angin kencang menumbangkan pokok-pokok dan menerbangkan bumbung kediaman dalam kemusnahan antara paling buruk di negara itu sejak bertahun-tahun.

Pihak berkuasa memindahkan sekitar 375,000 orang ke tempat selamat, membatalkan beratus-ratus penerbangan dan menutup sekolah serta pantai menjelang ketibaan Molave. Ribut itu tiba di daratan di selatan Danang dengan membawa angin selaju 145 kilometer sejam.

Media tempatan melaporkan, sekurang-kurangnya dua orang terbunuh di wilayah Quang Ngai ketika berusaha melindungi kediaman mereka daripada ribut.

“Rakyat Vietnam tabah, namun ini adalah antara kemusnahan terburuk yang pernah berlaku di banyak kawasan.

“Ribut dan banjir  tidak henti-henti ini menyebabkan kemalangan jiwa, memusnahkan mata pencarian dan mengakibatkan berjuta-juta penduduk terputus hubungan,” kata Presiden Persatuan Palang Merah Vietnam, Nguyen Thi Xuan Thu.

Pasukan penyelamat turut mencari 26 nelayan yang hilang di tengah laut semasa ribut itu membadai dan menyebabkan ombak besar setinggi 6 meter dengan bekalan elektrik di Quang Ngai  terputus. Taufan Molave adalah ribut keempat melanda Vietnam bulan ini.

Kapal-kapal tentera laut dikerah untuk mencari kru dua bot nelayan itu yang hilang semasa mereka cuba berlabuh, kata Timbalan Perdana Menteri, Trinh Dinh Dung.

Larangan memancing dikuatkuasakan sejak semalam, manakala semua lapangan terbang di rantau itu ditutup sehingga diberitahu kelak.

Taufan Molave melanda selepas beberapa minggu banjir teruk dan tanah runtuh meragut 130 nyawa dan merosakkan atau memusnahkan lebih 310,000 kediaman di Vietnam, demikian menurut Persekutuan Palang Merah Antarabangsa dan Persatuan Bulan Sabit Merah (IFRC).

IFRC memberi amaran bahawa hampir 1.2 juta orang berada dalam situasi bahaya dan memerlukan bantuan.

“Ribut ini adalah satu lagi contoh dahsyat impak perubahan iklim,” kata jurucakap Palang Merah, Christopher Rassi.

Vietnam kerap dilanda bencana alam  pada musim hujan antara Jun hingga November, dengan wilayah pesisir pantai di tengah negara itu sering terjejas tetapi ribut yang melanda menjadi lebih buruk sejak beberapa tahun lalu. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI