MEMULAKAN kerjaya seni sebagai pelakon seawal usia lapan tahun. Pelakon dan juga penyanyi, Naim Daniel sebenarnya tidak menyangka karier seninya bersayap lebar seperti hari ini.
Sementelah kata Naim, kerjayanya sebagai pelakon terjadi secara tidak sengaja apabila ibu bapanya yang mengusahakan katering untuk kru produksi drama dan dia dilamar oleh pengarah sebagai pelakon tambahan kanak-kanak.
Drama Igauan Semalam menjadi titik permulaan pelakon itu beraksi walaupun sekadar memegang watak picisan. Namun, perlahan-lahan pemilik nama penuh Muhammad Naim Daniel Baharin itu mula mengukir nama sebagai pelakon sepenuh masa.
Tempoh 16 tahun bukannya singkat. Naim optimis apabila mengakui populariti yang dikecapi pada hari ini agak lambat, itu pun selepas dia terjun ke bidang nyanyian.
“Namun, alhamdulillah, sepanjang tempoh itu juga, pengalaman berwarna-warni telah ditimba.
“Daripada seorang kanak-kanak ‘berhingus’ kepada apa yang saya kecapi hari ini, corak perjalanan seperti telah ditentukan,” katanya.

Trauma
Mengakui perlu mengambil masa untuk ‘jatuh cinta’ menjadi seorang pelakon, Naim sendiri menyifatkan penglibatannya sebagai anak seni sebagai ketentuan punca pendapatan buat keluarga.
Tanpa berselindung, Naim mengakui pernah merajuk dengan bidang lakonan. Semuanya berpunca apabila dia sering terasa sekadar menjadi pilihan kedua untuk diambil berlakon, sehinggakan tercetus rasa trauma terhadap industri.
“Saya sedar untuk menjadi pelakon utama memerlukan daya tarikan daripada rupa paras dan fizikal, sedangkan saya tahu semua itu tidak ada pada diri sendiri.
“Tetapi apabila difikirkan semula, itu semua rezeki dan saya seharusnya perlu bersyukur kerana masih mendapat tawaran dalam bidang ini,” katanya.
Sambil disulami ketawa, Naim sempat berkongsi pengalaman pernah berdepan pengalaman kelat akibat dipukul dengan kayu besbol sewaktu berada di lokasi penggambaran.
Insiden tersebut berlaku ketika sedang menjayakan babak pergaduhan dalam sebuah drama dan secara tidak sengaja telah dipukul salah seorang pelakon lain dengan menggunakan kayu besbol.
“Sakitnya bukan kepalang dan memang rasa nak menangis sewaktu dipukul.
“Mujur saya tidak cedera teruk dan ekspresi saya dalam babak itu kelihatan betul-betul,” katanya.

– MOHAMAD IQBAL ROSLI
Lakonan VS nyanyian
Sebagai manusia biasa, lazim bagi individu mempunyai perasaan terkilan dalam jiwa.
“Benar, saya pernah berasa cemburu melihat rakan-rakan seperjuangan lain berjaya dalam karier seni,” ujarnya.
Namun, pelakon yang kini bergelar penyanyi itu tidak kisah tentang kemasyhuran dalam bidang hiburan kerana percaya pada konsep rezeki.
Penghijrahan seseorang pelakon terjun ke bidang nyanyian bukan lagi perkara asing, begitu juga sebaliknhya.
Apa yang menjadi penentu, sama ada percubaan tersebut berjaya atau tidak.
Sama juga seperti Naim. Wajahnya yang sebelum ini sering menghiasi drama televisyen, tiba-tiba muncul menjadi salah seorang penyanyi popular ketika ini.
Lebih manis, apabila Naim berjaya merangkul Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-34 pada tahun lalu menerusi lagu Sumpah untuk penyertaan sulungnya dalam anugerah berprestij tersebut.
Katanya, kegemilangan sebagai penyanyi tidak diraih dalam sekelip mata.

Selepas dua single, Sekali Lagi dan Sempurna, barulah tuah memihak kepadanya menerusi Sumpah.
Selepas memegang dua kerjaya iaitu pelakon dan penyanyi, Naim kini memilih untuk memberi fokus terhadap nyanyian. Dia mahu mengukuhkan namanya dalam arena seni suara.
Menjadikan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sebagai idola, Naim bukan sahaja mahu bergelar penyanyi, bahkan sebagai pencipta lagu, bukan hanya untuk diri sendiri sebaliknya turut berkongsi karya dengan penyanyi lain.
Menyentuh tentang perihal imej terkini yang tampil dengan gaya rambut panjang, Naim sekadar membuat percubaan. Dia mahu membela rambutnya sehingga boleh diikat memandangkan gaya sebegitu belum pernah ditampilkannya.
“Saya suka bereksprimen dan pernah tampil dengan gaya botak.

“Namun, kini jika ada watak yang memerlukan saya memotong rambut, saya tidak akan teragak-agak untuk memenuhi tuntutan tersebut,” ujarnya.
Tambahnya lagi, dia juga dalam proses untuk menaikkan berat badan memandangkan tubuhnya kelihatan sangat kurus sehingga timbul kata-kata menuduhnya terlibat aktiviti negatif.
“Memang ada tuduhan yang mengatakan saya mengambil dadah kerana fizikal yang terlalu kurus.
“Saya anggap itu satu usikan kerana saya masih tahu mana baik dan buruk,” katanya.
Menjadi seorang selebriti sememangnya tidak lepas daripada dihambat kontroversi. Sebagai individu berpengalaman luas dalam bidang ini, Naim amat berhati-hati membawa diri supaya tidak terpalit dengan isu mengaibkan.
Menambahkan rasa syukur, kerjaya yang dibantu keluarga sendiri, Naim menguatkan jati dirinya untuk tidak lalai dan alpa dengan populariti yang diraih.
Ingin terus kekal relevan dalam industri, Naim tidak meletakkan sebarang sasaran untuk berhenti dalam kerjaya seni selagi rezeki masih memihak kepadanya.
“Selagi orang boleh terima, selagi itu saya akan terus menghiburkan khalayak,” tutupnya seraya mengakui masih solo.















