fbpx

Pengiklanan jawatan kosong di MyFutureJobs mulai 1 November

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saravanan

PUTRAJAYA – Majikan yang berhasrat untuk menggaji pekerja asing melalui program
pengambilan semula dan permohonan pengambilan pegawai dagang diwajibkan mengiklankan kekosongan jawatan tersebut di portal pekerjaan nasional, MYFutureJobs, berkuat kuasa 1 November ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, pengiklanan kekosongan jawatan di MYFutureJobs hendaklah tidak kurang daripada 14 hari bagi program pengambilan semula pekerja asing sedia ada dalam negara dan 30 hari bagi permohonan pegawai dagang.

Beliau berkata, majikan juga dikehendaki mendaftar dan membuat permohonan melalui Sistem Pengurusan Pekerja Asing Bersepadu (ePPAX) sebagai syarat pematuhan kepada undang-undang perburuhan bagi penggajian pekerja bukan warganegara.

Katanya, mana-mana majikan dan pekerja yang menggunakan JobsMalaysia juga akan diubah hala ke portal MYFutureJobs mulai 1 November ini bertujuan menjadikan MYFutureJobs sebagai platform tunggal memantau padanan pekerjaan melibatkan rakyat tempatan.

“Ia juga untuk memastikan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia diberi keutamaan.

“Permohonan pekerja asing atau pegawai dagang hanya akan dipertimbangkan sekiranya tiada rakyat Malaysia yang berminat memohon jawatan berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Saravanan berkata, maklumat seperti nama jawatan, gaji yang ditawarkan, kelayakan akademik atau kemahiran dan kompetensi yang diperlukan wajib dipaparkan di MYFutureJobs.

Katanya, ini akan disusuli sesi menemuduga calon bersama wakil majikan dan agensi Kementerian Sumber Manusia, iaitu Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Sehubungan itu, saya meminta supaya Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Perkeso membantu pihak majikan mengaturkan sesi temuduga di premis majikan atau mana-mana lokasi yang dipersetujui.

“Perkeso juga hendaklah menghebahkan kekosongan jawatan tersebut terutamanya bagi kekosongan pegawai dagang kepada semua rakyat Malaysia melalui pelbagai saluran media,” katanya.

Bagi sebarang pertanyaan berkenaan perkhidmatan pekerjaan dan portal MYFutureJobs, sila
hubungi Perkeso di talian 03-8091 5300. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI