fbpx

Pembantu kedai makan maut terkena renjatan elektrik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Petugas kesihatan membawa mangsa yang terkena renjatan elektrik ke hospital dalam kejadian di sebuah kedai makan di Persiaran Lembah di Kuala Kangsar semalam.

KUALA KANGSAR – Seorang pembantu kedai makan maut akibat renjatan elektrik dalam kejadian di sebuah kedai di Persiaran Lembah di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 4 petang itu, mangsa, Mohamad Fauzi Musa, 30, meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Kuala Kangsar.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, kejadian ketika hujan lebat itu berlaku semasa mangsa bersama empat yang lain sedang melayan pelanggan di kedai berkenaan.

Katanya, mangsa bagaimanapun secara tiba-tiba terjatuh dan tertiarap di lantai dengan tangan kanannya masih memegang tiang besi khemah.

“Seorang pelanggan dan pekerja kedai melihat mangsa jatuh rebah secara tiba-tiba selepas selesai menghantar makanan.

“Ketika kejadian, tangan kanan mangsa masih berpegang pada tiang besi khemah kedai. Pekerja lain cuba membantu namun mendapati masih terdapat cas elektrik pada badan mangsa,” katanya di sini hari ini.

Menurut Omar Bakhtiar, lelaki itu disyaki terkena renjatan elektrik dengan pemeriksaan mendapati badan dan pakaian mangsa basah selain tangannya berwarna gelap.

Bagaimanapun katanya, mangsa yang ketika itu masih hidup meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital dengan menaiki ambulans.

“Pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati khemah di mana tempat mangsa rebah bersambung terus dengan kedai makan dan semasa kejadian hujan sangat lebat.

“Bedah siasat ke atas mayat mangsa mendapati punca kematian akibat serangan jantung disebabkan renjatan elektrik. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI