fbpx

Pengerusi Samsung, Lee Kun-hee meninggal dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar fail bertarikh 22 April 2008 menunjukkan Lee Kun-Hee (kiri) bersama Naib Pengerusi Lee Hak-Soo (kanan) di ibu pejabat syarikat di Seoul. - AFP

SEOUL – Pengerusi Samsung Electronics, Lee Kun-hee yang mengubah firma Korea Selatan itu menjadi sebuah gergasi teknologi global dilaporkan meninggal dunia pada uia 78 tahun semalam, menurut syarikat itu.

Di bawah kepimpinan Kun-hee, Samsung bangkit menjadi pengeluar telefon pintar dan cip memori terbesar dunia dan pusingan ganti keseluruhan firma itu menyamai satu perlima Keluaran Negara Kasar Korea Selatan.

Kebangkitan Samsung membantu menjadikan Kun-hee sebagai orang terkaya Korea Selatan dan ahli industri paling berkuasa.

“Dengan hati yang amat berat, kami mengumumkan bahawa Kun-hee sudah meninggal dunia, Pengerusi Samsung Electronics.

“Pengerusi Lee meninggal dunia pada 25 Oktober dengan keluarganya termasuk Naib Pengerusi Jay Y. Lee berada di sisinya.

“Pengerusi Lee adalah seorang berpandangan jauh yang mengubah Samsung menjadi syarikat peneraju penciptaan dan industri dunia dari satu perniagaan tempatan,” menurut syarikat dalam satu kenyataan.

Samsung ialah sebuah syarikat konglomerat terbesar milik keluarga yang mendominasi perniagaan di Korea Selatan.

Firma itu membantu transformasi Korea Selatan dari sebuah negara yang musnah dalam perang menjadi ekonomi ke-12 terbesar dunia walaupun terpalit dengan mainan politik dan persaingan kotor.

Syarikat itu pernah disabitkan dengan dua kesalahan jenayah termasuk satu kes memberi rasuah kepada seorang presiden.

Semasa Kun-hee mewarisi pentadbiran kumpulan Samsung pada 1987, diasaskan oleh bapanya sebagai satu pengeksport ikan dan buah-buahan, syarikat itu sudah merupakan konglomerat terbesar di negara itu dengan operasi perniagaan meliputi elektronik hingga ke sektor pembinaan.

Bagaimanapun, syarikat itu dilihat sebagai pengeluar produk murah dan berkualiti rendah.

“Mari kita ubah semua perkara kecuali isteri dan anak-anak (kami),” kata Lee pada tahun 1993.

Syarikat mengumpul semula dan membakar semua 150,000 unit telefon mudah alih dalam simpanan untuk memberi laluan kepada penghasilan set telefon Anycall.

Di bawah pentadbiran Kun-hee,  Samsung  menjadi sebuah syarikat berstatus global dan semasa mendiang terkena serangan jantung pada 2014, firma itu sudah menjadi pengeluar telefon pintar dan cip memori terbesar dunia selain pengeluar utama semikonduktor dan skrin LCD.

Kun-hee jarang memberi kenyataan kepada media tetapi sering mengawasi keadaan semasa syarikat. Beliau lazimnya membuat ucapan berkait amanat korporat semasa sambutan Tahun Baharu.

Anak mendiang yang juga Naib Pengerusi Samsung Electronics, Lee Jae-yong sudah mengetuai syarikat sejak kes serangan jantung tahun 2014.

Mendiang jarang keluar daripada kediaman persendirian di tengah-tengah bandar Seoul untuk melawat syarikatnya yang menyebabkan dirinya digelar ‘raja hermit’.

Kun-hee ialah anak ketiga kepada pengasas kumpulan Samsung, Lee Byung-chull. Mendiang bersekolah di Jepun sejak berumur 11 tahun dan melanjutkan pengajian ke Universiti Waseda di negara sama sebelum memperoleh Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Universiti George Washington di Amerika Syarikat.

Mendiang suka anjing, menonton wayang, menunggang kuda dan memiliki kenderaan sport mewah eksotik.

Kun-hee menjawat jawatan naib pengerusi kumpulan pembinaan dan dagangan semasa berumur 36 tahun dan menjadi pengerusi kumpulan sembilan tahun kemudian, selepas kematian bapanya.

Kun-hee berkahwin dengan Hong Ra-hee, anak kepada seorang menteri keadilan dan pasangan itu mempunyai seorang anak lelaki dan tiga anak perempuan.

Pada 1996, Kun-hee disabitkan atas kesalahan memberi rasuah kepada bekas presiden Roh Tae-woo untuk mendapatkan kelebihan bagi Samsung dalam keputusan membuat polisi perniagaan.

Taikun itu juga didapati bersalah dalam skandal penggelapan dan pengelakan cukai pada 2008 yang menyaksikan Kun-hee berundur seketika daripada kepimpinan syarikat.

Bagaimanapun, beliau tidak menjalani hukuman di penjara kerana ia bersifat tertangguh selain dua kali menerima pengampunan presiden.

Beberapa tahun selepas itu, Kun-hee berjaya menepis satu saman tuntutan daripada adik beradik lain yang menuntut hak untuk layak menerima saham Samsung yang dianggarkan bernilai berbilion-bilion dolar.

Mendiang berada di bawah penjagaan kesihatan selepas kes serangan jantung tetapi tiada maklumat diperoleh mengenai keadaan kesihatannya. – AFP                

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI