fbpx
SARAH HILDEBRAND

‘Jangan hina suami saya’ – Sarah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HARI ini genap sebelas hari wanita kacukan Pan-Asian, Sarah Hildebrand membulatkan tekad kembali mempamerkan mahkota kewanitaannya setelah lima tahun menjalani hari-hari sebagai wanita berhijab.  Radar seni hiburan minggu lalu sedikit tegang apabila bintang drama Pujaan Hati Kanda itu dilihat memuat naik sekeping gambar dalam Instagram tanpa bertudung.

Maka, berbondong-bondonglah ‘tentera bawang’ melemparkan kata-kata nista di alam maya seperti tiada hari esok tanpa memikirkan hati dan perasaan empunya badan.

Terpanggil menyelami harinya, pelawaan Pose mengatur sesi pertemuan eksklusif bersama Sarah disantuni penuh hemah, tiada sedikit pun penolakan terbutir keluar daripada bibirnya.

pelakon berusia 30 tahun ini mempunyai sebab tersendiri untuk tidak bertudung dan bersedia menerima kecaman daripada netizen. –

“Sampai bila harus saya berselindung? Lambat-laun orang akan tahu juga, lebih baik saya kongsi.

“Sekarang zaman media sosial. Daripada situlah, orang akan tahu saya masih lagi ada dan aktif. Berbeza era artis zaman dahulu, apabila teknologi makin berkembang maju, kenapa tidak kita manfaatkan dengan betul.

“Jadi, bukanlah saya dengan bangga membuat pengumuman secara rasmi berkenaan keputusan menanggalkan tudung,” luahnya.

Enggan memperincikan alasan tindakan nekadnya itu, ujar wanita berusia 30 tahun itu, dia tidak mahu memperbesarkan isu tersebut dan yakin pasti akan ada pengakhiran yang baik.

“Lebih baik saya simpan diam-diam alasan mengapa tidak mahu bertudung. Biarlah saya telan semua herdikan dan kecaman.

“Kalau saya buka mulut pun, mereka (netizen) tetap tidak akan faham dan tetap berterusan bercakap kurang baik fasal saya.

“Cuma, saya berterima kasih dan bersyukur kerana dalam kepahitan tetap terselit kemanisan. Saya bertuah dalam pada ramai beri komen negatif, ada juga yang memberi kata-kata positif,

semangat serta motivasi kepada saya,” jelasnya yang juga mendoakan perkara yang baik-baik kepada semua.

SARAH meminta peminat mendoakan dia dan suami dikurniakan cahaya mata sebagai pelengkap perkahwinan mereka. – MUHAMAD IQBAL ROSLI

Minta henti kecam suami

Tidak bersendirian berdepan berdepan hentaman bertubi-tubi, aktres berdarah kacukan Melayu – Amerika Syarikat – Jerman itu mengakui, suaminya, Otto Gillen turut berdepan tempias tidak kurang hebatnya. Otto terheret dan didakwa turut menyokong keputusan isterinya.

Menjadikan lebih dramatik, Otto yang merupakan seorang mualaf dituduh menjadi punca mendorong Sarah kembali tidak tudung.

Pelakon drama Seindah Tujuh Warna Pelangi itu bagaimanapun menafikan sekeras-kerasnya keputusan tersebut dipengaruhi si suami, begitu juga dengan status si suami yang mualaf dikatakan mendorongnya kembali ‘bebas rambut’.

“Ramai orang kahwin dengan mualaf. Senang cerita, itu hidup masing-masing dan kami teruskan dengan cara begini untuk tidak berkongsi hal peribadi dan isu sensitif. Tolong jaga adab dan jangan sampai membenci.

“Saya mahu tekankan, keputusan ini bukan disebabkan dia (suami). Bukan dia yang suruh saya buka tudung. Netizen salah faham dengan ayat yang ditulis Otto kononnya dia bersetuju dan menyokong apa yang saya buat.

“Malah, semasa saya mahu berbuat demikian (buka tudung), sebenarnya dia tak nak pun saya berbuat demikian. Saya kena beritahu pada semua sebab saya tak suka orang kecam dan lemparkan kata-kata kurang baik terhadap suami.

“Perkara ini sangat peribadi yang mana anda tak boleh bandingkan kehidupan orang lain dengan diri sendiri.

“Setiap individu perjalanannya berbeza. Maksud suami, dia hormat keputusan saya dan mahu lihat orang yang disayangi gembira, bukan bersetuju seperti yang didakwa,” jelasnya.

PELAKON drama Seindah Tujuh Warna Pelangi itu menafikan keputusannya untuk tidak lagi bertudung dipengaruhi suami.

Karier, keluarga

Mahu melebarkan sayap dengan meluas di persada seni, Sarah juga mahu pesonanya dikenali atas kejayaan yang dikecapi.

Akur dengan gelombang pandemik Covid-19 yang turut menjejaskan periuk nasinya, Sarah tetap optimis dan yakin, pasti ada pelangi selepas hujan.

“Jujur, saya juga antara anak seni yang terkesan. Ada beberapa tawaran seni terpaksa ditangguhkan kerana tak mahu menanggung risiko.

“Pasti ada hikmah di sebalik semua ini. Saya tetap fikir yang baik-baik dan berdoa agar semua semuanya kembali normal,” tuturnya.

Diusik dengan soalan tentang popularitinya yang kurang diperhatikan ketika berhijab sepanjang lima tahun lalu, Sarah membidas kenyataan itu dengan berhemah. Jelasnya, faktor kurang dikenali bukan punca utama dia menanggalkan tudung.

SELAIN berlakon dan mengacara, Sarah juga bergelar usahawan, dia kini menghasilkan sejenis produk penjagaan kecantikan berasaskan organik.

“Tidak benar! Semasa bertudung, saya dilimpahi rezeki dan tidak putus tawaran seni. Imej baharu ini bukanlah seperti yang dispekulasikan kononnya disebabkan saya tiada tawaran kerja. Langsung tiada kaitan.

“Saya harap dapat bawakan watak lakonan yang mungkin tidak berpeluang untuk saya lakonkan sebelum ini disebabkan jalan cerita kurang sesuai dengan penampilan,” katanya yang terbuka bernaung dengan mana-mana syarikat pengurusan artis jika kena dengan tawaran.

Berkongsi tentang perancangan keluarga, Sarah yang mendirikan rumah tangga dengan lelaki berdarah kacukan Filipina-Amerika Syarikat pada November 2019 itu belum dikurniakan cahaya mata.

Menyerahkan rezeki anak kepada Tuhan, Sarah dan Otto tidak pernah merancang malah mereka mahu lekas menimang cahaya mata.

“Saya dan suami sudah tentu mahukan anak sebagai pelengkap rumah tangga. Cuma untuk waktu sekarang, mungkin kami perlu berfikir dulu.

“Bukan apa, dengan pandemik yang masih belum nampak kesudahan selain keadaan ekonomi terkesan, itu semua kami perlu ambil kira.

“Cepat atau lambat, itu semua ketetapan Ilahi. Insya -Allah, doakan yang baik-baik untuk kami dikurniakan anak satu hari nanti,” akhirinya.

SARAH turut menafikan tindakan kembali tidak bertudung akibat tiada tawaran lakonan. Solekan & Dandanan Rambut: El Manda Zuhairy Instagram: @elmandazuhairy)

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN