fbpx

Amanat Vincent pembakar semangat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LUQMAN (kiri) beraksi selepas dimasukkan untuk menggantikan Goloubovic pada minit ke-74 ketika KVK menentang RSC Anderlecht di Guldensporen Stadion awal pagi semalam.

Oleh MOHD. FARIQ

“INGAT, seluruh rakyat Malaysia akan menyaksikan kamu. Jangan takut dan harumkan nama negara.”

Itulah pendedahan ekslusif penyerang sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin ketika menceritakan kembali amanat istimewa Tan Sri Vincent Tan sebelum melakukan debut bersama KV Kortrijk (KVK) awal pagi semalam.

Biarpun tewas 1-3 kepada RSC Anderlecht pada aksi Liga Pro Belgium, Luqman, 18, mengakui amanat pemilik KVK, Vincent berjaya menaikkan motivasinya sebaik membuat penampilan pertama dengan KVK apabila menggantikan Petar Golubovic pada minit ke-74.

Ternyata percaturan jurulatih KVK, Yves Vanderhaeghe membawa masuk pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu membuahkan hasil apabila berjaya mendapatkan sepakan penalti yang disempurnakan oleh Ilombe Mboyo pada minit ke-87.

Mengulas lanjut, Luqman tanpa berselindung mendedahkan dia semakin positif untuk terus berada dalam kesebelasan utama KVK pada perlawanan akan datang.

“Satu keputusan yang bukan diinginkan tetapi secara peribadi, saya berpendapat keyakinan saya bertambah lebih baik biarpun diturunkan pada lewat perlawanan.

“Impian saya telah tercapai dan aksi ini adalah langkah pertama saya, tetapi amanat Tan Sri (Vincent Tan) antara salah satu faktor menaikkan motivasi saya kerana beliau mengingatkan saya supaya serius apabila membawa nama Malaysia di pentas antarabangsa.

“Saya akui perlawanan bertambah sukar selepas kami ke­tinggalan 0-3, tetapi paling penting bagi saya adalah dapat merasai pengalaman kali pertama bermain di Liga Pro Belgium,” katanya ketika dihubungi di Kortrijk semalam.

Luqman mengakui kekalahan itu juga telah mematangkan sebagai seorang pemain bola sepak profesional.

Jelas Luqman, dia akan tampil lebih berani dan agresif sekira namanya sekali lagi disenaraikan dalam skuad utama pada perlawanan akan datang.

Lebih mustahak, Luqman mendedahkan dia sudah bersedia untuk memburu jaringan sulung di pentas Jupiler Pro League jika dapat bermain dalam kese­belasan utama KVK.

Sementara itu, Vincent me­lahirkan rasa gembira kerana akhirnya jurulatih KVK membenarkan Luqman beraksi dalam pasukan utama meskipun sebagai pemain gantian.

“Meskipun Luqman tidak menjaringkan gol, namun ia permulaan bagus untuk karier Luqman pada Liga Pro Belgium. Saya yakin bahawa Luqman akan menjaringkan gol apabila diberi peluang lebih banyak untuk beraksi bersama skuad utama,” kata Vincent.

MOHD FARIQ adalah penulis bebas

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI