fbpx
Al-Sultan Abdullah menerima menghadap Muhyiddin di Istana Abdul Aziz, Indera Mahkota, Kuantan semalam.

Rakyat gelisah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Kabinet semalam dipercayai membincangkan kemungkinan untuk melaksanakan darurat bagi mengatasi ketidakstabilan politik negara ketika ini sekali gus memberi fokus kepada usaha menangani penularan jangkitan Covid-19.

Perkara itu dikatakan telah diputuskan dalam mesyuarat khas di Bangunan Perdana Putra di sini pagi semalam yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Berikutan itu, Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Abdul Aziz, Indera Mahkota di Kuantan petang semalam bagi mendapatkan perkenan baginda berhubung perkara tersebut.

Perdana Menteri tiba di pintu masuk istana berkenaan pada pukul 4.40 petang.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang adalah antara yang dilihat berada dalam konvoi mengekori Perdana Menteri ketika memasuki istana.

Muhyiddin kemudian dilihat meninggalkan pekarangan Istana Abdul Aziz kira-kira pukul 7.10 malam setelah selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Pertemuan itu dikatakan berlangsung selama lebih dua jam.

Bagaimanapun, setakat pukul 9.30 malam tadi, Perdana Menteri tidak mengadakan sidang akhbar atau mengeluarkan ke­nyataan media mengenai perkara itu.

Selain itu, tiada kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh pihak Istana Negara berhubung perkara sama.

Terdahulu, Muhyiddin mempengerusikan satu mesyuarat khas selama hampir tiga jam di Bangunan Perdana Putra di sini bermula pukul 9.30 pagi sebelum berakhir kira-kira pukul 12 tengah hari semalam.

Antara yang dilihat hadir pada mesyuarat khas itu termasuklah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Luar, Datuk Seri Hishamuddin Hussein.

Selain itu, beberapa menteri lain termasuk Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Turut kelihatan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Kenderaan yang membawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memasuki Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam.

 

Sementara itu, desas-de­sus kencang kononnya kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu melaksanakan darurat bagi menyelesaikan kemelut politik negara dan menumpukan kepada usaha mencegah penularan pandemik Covid-19 mencetuskan keresahan ramai rakyat.

Rata-rata rakyat menerusi laman sosial mempersoalkan kesahihan pengisytiharan darurat itu sama ada ia akan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atau sebaliknya.

Berdasarkan pemantauan Kos­mo! di laman media sosial Twitter, perkongsian berkenaan tanda pagar #Darurat mendapat ciapan lebih 76,000 pengguna, manakala #YDPA dikongsi kira-kira 9,000 akaun.

Majoriti netizen melahirkan pelbagai persoalan dan kebimbangan berhubung darurat politik itu memandangkan tidak mempunyai gambaran jelas ber­kenaan pengisytiharan terbabit.

Seorang pengguna Twitter, @minud_ menyifatkan keputusan Kabinet untuk berjumpa Al-Sultan Abdullah sebelum melaksanakan darurat sebagai langkah terbaik.

“Bagus, tetapi darurat ini untuk maksud yang bagaimana? Politik atau Covid-19? Jika berkaitan politik, ia baik kerana rakyat sudah penat lihat perebutan kuasa.

“Andai darurat itu berkenaan Covid-19, situasi sama tetap berlaku dan mereka akan merebut kuasa,” tulisnya semalam.

Seorang lagi pengguna, @nmaaisurah turut melahirkan rasa sedih sekiranya kerajaan bercadang mengumumkan pengisy­tiharan darurat ekoran dia berada jauh daripada keluarga.

“Saya mendoakan semua orang yang berada jauh dengan keluarga dan berharap Tuhan sentiasa menolong kita untuk kekal tabah,” katanya.

Persoalan sama turut ditimbulkan pemilik akaun @RezaRoslan2 dengan menanyakan apa yang akan berlaku sekiranya perintah darurat tersebut dilaksanakan di Malaysia dan bagaimana dengan kebajikan rakyat.

“Adakah rakyat akan terkesan dengan langkah baharu kerajaan, harap semua dipermudahkan ke­ra­na apa yang paling penting ketika ini ialah usaha memastikan pandemik Covid-19 dapat dikawal.

“Hal berkaitan politik mungkin boleh dihentikan buat seketika,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN