fbpx

Polis bongkar sindiket tanam dadah tepi rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hasanuddin (dua dari kiri) menunjukkan sebahagian dadah jenis heroin yang dirampas dalam empat siri tangkapan di Langkawi pada kelmarin.

Oleh NUR AMALINA AZMAN

LANGKAWI – Polis berjaya membongkar taktik licik satu sindiket pengedaran dadah yang dikesan menanam dadah di tepi rumah selain menyembunyikannya di celah dinding pondok kayu dalam empat tangkapan berasingan di sini kelmarin.

Dalam tangkapan bermula pada pukul 1 tengah hari itu, polis merampas kira-kira 11.5 kilogram (kg) dadah heroin dan syabu dianggarkan bernilai RM594,200.

Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan memberitahu, berdasarkan maklumat dan risikan, anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi menahan seorang lelaki berusia 24 tahun bersama 1.03 gram (g) syabu di hadapan sebuah rumah di Taman Cenderawasih di Kampung Mata Air di sini.

Kata beliau, pihaknya kemudian melakukan satu lagi tangkapan melibatkan seorang lelaki berusia 37 tahun di dalam bilik rumah tersebut dan menemui syabu seberat 57 g.

“Hasil soal siasat, suspek kedua mengaku ada menyimpan dadah di lokasi berbeza di sebuah pondok di Kampung Bayas sebelum dibawa ke lokasi tersebut.

“Suspek kemudian menyerahkan sebuah beg berwarna hitam mengandungi bungkusan plastik lutsinar berisi syabu seberat 102 g dan dan heroin seberat 103 g disembunyikan di celah dinding kayu,” katanya pada sidang akhbar di IPD Langkawi di sini hari ini.

Menurutnya, hasil soal siasat, pihaknya menahan suspek ketiga berusia 31 tahun bersama 15.03 gram heroin di kawasan letak kereta di Jalan Penarak.

“Siasatan seterusnya membawa kepada tangkapan suspek keempat berusia 53 tahun di sebuah rumah di Kampung Bukit Tangga di sini yang mengaku menanam dadah tersebut di dalam tanah sedalam kira-kira 0.5 meter di kawasan tepi rumahnya.

“Pasukan polis kemudian bertindak menggali kawasan berkenaan sebelum menemui rampasan terbesar iaitu 11.446 kilogram (kg) dadah disyaki heroin di dalam guni putih berisi beg galas yang dibungkus beg plastik biru,” ujarnya.

Tambahnya, kesemua rampasan dadah heroin dan syabu dalam semua tangkapan tersebut dianggarkan bernilai RM594,000 dan merupakan rampasan dadah terbesar di Langkawi setakat ini.

“Suspek pertama disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala tiga lagi suspek disiasat di bawah Seksyen 39B akta sama,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI