fbpx
BEBY ACHA

Anje Baby goyangan dangdut Beby Acha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ENGGAN dibayangi populariti adiknya, Tajul Arif. Perkara tersebut menjadi prinsip bakat baharu, Beby Acha selepas menceburkan diri dalam dunia seni tanah air sejak dua tahun lalu.
Nur Aishah Md. Shari atau lebih mesra disapa sebagai Beby memberitahu, dia sudah lali kerana sering diusik dengan persoalan menumpang populariti arwah abangnya, Achik Spin dan adiknya itu.

“Saya sudah tidak hairan dengan dakwaan itu semua sebab niat kami hanya untuk menyanyi dan menghiburkan orang dengan bakat yang dianugerahkan Tuhan.
“Kami juga tidak pernah bersaing, malah tiada antara kami yang mampu menggantikan kehebatan Allahyarham Achik Spin. Dia dalam kelas tersendiri,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Katanya, perwatakannya dan adik-beradik yang lain sangat berbeza, malah genre yang dibawakannya juga berlainan daripada Tajul mahupun Achik.

“Minat dan kecenderungan muzik kami berbeza. Tajul dan Achik lebih kepada irama balada dan pop.

“Manakala suara dan perwatakan saya pula sangat serasi dengan irama pop dangdut. Jadi tiada istilah tiru-meniru antara kami semua,” tuturnya.

Beby juga tidak menolak sekiranya diberi peluang untuk berduet bersama Tajul dalam single akan datang.

“Saya memang mahu berduet dengan adik bongsu itu, tetapi apakan daya kami bernaung bawah syarikat pengurusan yang berlainan jadi ada sedikit kesukaran di situ. Namun, jika ada rezeki, memang hendak berduet,” jelasnya.

MUNCUL dengan lagu berjudul Anje Baby yang berentak dangdut, video muzik rasmi lagu berkenaan kini mencatat lebih dua juta tontonan selepas dilancarkan menerusi YouTube sejak September lalu.

Anje Baby

Teruja berkongsi mengenai single terbaharu, cerita Beby, video rasmi Anje Baby kini sudah mendapat lebih dua juta tontonan dalam YouTube sejak dilancarkan pada 7 September lalu.

“Lagu ini menceritakan kisah seorang perempuan yang dimanjakan oleh pasangannya dan sanggup berkorban apa sahaja untuk dia.

“Mesejnya sangat mudah difahami dan rentaknya sangat catchy. Saya tidak sangka Anje Baby mampu mendapat jumlah tontonan yang begitu tinggi, terkejut juga kami,” ujarnya.

Ujar anak kelahiran Negeri Sembilan itu, dia yakin kekuatan sesebuah lagu bergantung kepada penciptanya.

“Saya akui melodi dangdut lagu ini sangat kuat dan liriknya juga membantu menghidupkan lagi naskhah yang dihasilkan oleh Apak atau Harry Khalifah itu.

“Selain itu, saya rasa mungkin pendengar di Malaysia ternanti-nantikan lagu irama dangdut kerana jarang-jarang ada genre sebegini pada zaman sekarang,” katanya lagi.

Tidak mahu terkongkong dalam satu genre sahaja, Beby juga mahu mencuba pelbagai jenis muzik lain kerana ingin dikenali sebagai penyanyi yang versatil.

“Selain genre dangdut, saya sangat teringin untuk mencabar diri sendiri menyanyikan genre lain seperti balada dan irama Malaysia.

BEBY ACHA enggan tumpang populariti adik-beradiknya.

Impian dan idola

“Saya sedar tidak mudah tetapi saya akan terus belajar untuk membuktikan kemampuan diri. Sentiasa perbaiki kelemahan yang ada dan tidak mendabik dada, itulah yang saya pegang ketika ini,” ujarnya.

Sementara itu, Beby juga menjadikan Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai idolanya dalam industri hiburan.

“Idola saya ialah Siti Nurhaliza kerana dia merupakan seorang penyanyi memiliki bakat yang sangat dicemburui ramai iaitu mampu menyanyikan pelbagai jenis genre lagu.

“Malah, Beby juga ingin menjadi sepertinya yang telah berjaya mengharumkan namanya di Malaysia dan ke serata dunia,” tuturnya.

Penyanyi berusia 29 tahun itu juga ingin bergelar seorang penyanyi yang bebas daripada gosip liar sehingga boleh membunuh kariernya.

“Kalau boleh saya nak elakkan daripada terpalit dengan kontroversi dan cerita tidak enak sepanjang bergelar artis.

“Apa pun, selagi saya boleh mengawal keadaan, saya akan cuba jauhkan diri daripada terkait dengan gosip serta publisiti murahan,” katanya seraya menutup perbualan.

BERITA BERKAITAN