fbpx

Wanita maut akibat rabies di Sarawak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Oleh MOHD. HUSNI MOHD. NOOR

PUTRAJAYA – Seorang wanita berusia 34 tahun disahkan meninggal dunia pada 18 Oktober lalu akibat jangkitan rabies di Sarawak.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes kematian terbaharu itu adalah kes rabies ke-4 dalam kalangan manusia di negeri itu sepanjang tahun ini.

Beliau berkata, mangsa dimasukkan ke Hospital Sibu pada 12 Oktober lalu kerana mengalami lemah pada kedua-dua belah kaki selama lima hari sebelum dimasukkan ke wad.

“Kes ini telah meninggal dunia pada 18 Oktober lalu pukul 11.30 pagi dengan diagnosis rabies encephalitis.

“Beliau telah disahkan dijangkiti virus rabies melalui ujian makmal yang dijalankan oleh Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) pada 19 Oktober lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noor Hisham berkata, siasatan mendapati kawasan kediamannya berdekatan dengan tapak pelupusan sampah di mana terdapatnya banyak anjing liar yang berkeliaran.

Katanya, mangsa pernah digigit oleh anjing peliharaannya pada penghujung tahun 2018 namun tidak mendapatkan rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan.

Menurutnya, anjing peliharaan tersebut bebas bercampur dengan haiwan lain dan tidak pernah diberi suntikan vaksin anti-rabies.

“Haiwan ini telah dibunuh oleh orang awam susulan satu lagi kejadian di mana ianya telah menggigit seorang lagi individu.

“Bagaimanapun, tiada sampel dihantar kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak bagi ujian pengesahan jangkitan rabies pada anjing tersebut,” katanya.

Katanya, sebanyak 26 kes kumulatif kes rabies di Sarawak sejak wabak rabies diisytiharkan di Sarawak pada 31 Julai 2017 sehingga hari ini.

Noor Hisham berkata, Pejabat Kesihatan Bahagian Sibu telah memaklumkan kepada pihak berkuasa yang berkaitan untuk membuat penangkapan anjing di kawasan kediaman mendiang.

“Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak komited dan akan mempertingkatkan kerjasama dengan Kerajaan Negeri Sarawak, Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta agensi-agensi lain bagi memastikan langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan virus rabies dilaksanakan secara menyeluruh,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI