fbpx
ENOLA HOLMES kini disiarkan menerusi Netflix.

Millie nyawa, penyelamat ‘Enola Holmes’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARANGKALI orang ramai sedang bercakap tentang karya-karya Netflix yang sedang hangat dipertontonkan seperti Emily in Paris, The Haunting of Bly Manor dan mungkin juga, Ratched.

Penulis turut tidak terkecuali mengikuti trend cetuskan syarikat penerbitan dan penyedia perkhidmatan media Amerika Syarikat tersebut. Pilihan penulis minggu ialah filem original Netflix terbaharu, Enola Holmes.

Filem arahan Harry Bradbeer tersebut memberi definisi lebih meluas terhadap galaksi keluarga Holmes yang sebelum ini lebih tertumpu terhadap Sherlock.

Kali ini memberi perincian lebih detektif muda bernama Enola, adik perempuan kepada lelaki dambaan ramai itu.

Enola kalau dieja secara terbalik menghimpun perkataan alone yang dalam bahasa Melayu bermaksud sendiri.  Begitulah Enola terutama apabila ibunya, Eudoria menghilangkan diri secara tiba-tiba.

Pemilihan Millie Bobby Brown menjayakan watak Enola sangat bertepatan kerana dia epitome seorang pelakon bijak, berkelas dan penuh misteri.

Penulis tergoda dengan kualiti lakonan Millie yang cocok dengan karakter Enola. Seorang yang menyokong tinggi fahaman feminisme dan mampu berdiri dengan kaki sendiri tanpa sokongan da­ripada mana-mana pihak.

CETUSAN kimia antara Henry Cavil (kiri) sebagai Sherlock Holmes, Sam Claflin (Mycroft) dan Millie (Enola) sangat memberangsangkan.

Jatuh cinta

Seronok dapat melihat sisi lain Millie yang sebelum ini agak ‘terkurung’ de­ngan watak ikonik dalam Stranger Things sebagai Eleven, begitu juga de­ngan watak Madison Russell dalam filem Godzilla: King of the Monsters.

Penulis beranggapan sedemikian memandangkan Millie sebelum ini ba­nyak menjayakan watak gadis muda misteri. Bukan bermakna kualiti lakonannya kurang impak, cuma menerusi Enola Holmes, penonton disajikan sisi lain yang membuatkan ramai terus jatuh cinta dengannya.

Dari segi kualiti penceritaan, banyak ruang yang boleh diperbaiki namun tidak tidak menjadikan filem ini kurang padu.

Sebuah karya yang cukup mengujakan untuk ditonton, namun jika ada yang bertanya, adakah ini persembahan terbaik Millie dalam bentuk filem, penulis hanya boleh katakan, ada karya
lain yang lebih layak mengangkat persembahannya.

PERNAH dikenali sebagai pelakon cilik penuh misteri menerusi siri original Netflix Stranger Things, Millie melebarkan sayap sebagai pelakon dewasa yang sedang diperhatikan.

Sebenarnya, ada rindu terubat saat menantikan Millie dalam Stranger Things 4 akan datang. Bagaimanapun, Enola Holmes terus merancakkan graf lakonannya.  Henry Cavill sebagai Sherlock Holmes tidak mengecewakan. Barangkali buat segelintir penonton, dia adalah Sherlock paling eye candy pernah menjayakan watak tersebut.

Pun begitu, buat penulis, aktor paling hebat melakonkan watak ikonik tersebut ialah Benedict Cumberbatch.

Secara keseluruhan, Enola Holmes sebuah karya yang penuh dengan aksi dan penyusunan strategi untuk berdepan cabaran hidup.  Buat sesiapa yang ingin memperbaiki aksen Inggeris, penulis sarankan tonton filem ini. Selepas itu, layan pula siri filem Harry Potter!

BERITA BERKAITAN