fbpx

Zulkifli dan Hishammuddin bincang kuota haji 2021 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZULKIFLI (kanan) dan Hishammuddin berbincang mengenai perancangan kuota haji dan umrah hari ini.

Oleh MOHD. HUSNI MOHD. NOOR

PUTRAJAYA – Penetapan kuota haji 2021 dan jumlah jemaah umrah adalah antara topik utama dibincangkan menerusi pertemuan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Zulkifli menerusi perkongsian di Facebook berkata, perkara itu adalah perancangan yang dipersetujui bersama Hishammuddin sebelum dibawa ke peringkat Jawatankuasa Strategik Peringkat Tertinggi antara Malaysia dan Arab Saudi.

“Sebentar tadi saya menerima pelawaan Hishammuddin yang ingin mendapatkan pandangan saya berhubung Jawatankuasa Strategik Peringkat Tertinggi bagi memperkukuh kerjasama antara Malaysia dan Arab Saudi.

“Alhamdulillah, saya dan beliau senada bahawa banyak usaha sama boleh dilaksanakan menerusi jawatankuasa ini,” katanya hari ini

Katanya, antara perancangan yang dipersetujui adalah kuota haji untuk rakyat Malaysia bagi tahun 2021 dan jumlah rakyat Malaysia yang dibenarkan mengerjakan umrah sebaik sahaja Kerajaan Arab Saudi membenarkan ibadah itu kembali dilaksanakan.

Zulkifli berkata, perkara lain yang dibincangkan termasuk bantuan Kerajaan Arab Saudi kepada rakyat Malaysia yang daif dan kurang berkemampuan untuk menunaikan umrah.

Menurutnya, perbincangan turut menjurus kepada kerjasama pendidikan dan penyelidikan kedua-dua negara khususnya berkaitan keagamaan.

“Kami turut menyentuh usaha bagi merancakkan kembali aspek pelancongan terutama Arab Saudi melalui kehadiran rakyat Malaysia ke sana bagi menunaikan umrah selain memperkasa usaha membantu lebih ramai umat Islam di rantau Asean,” katanya.

Katanya, kerajaan sentiasa memastikan hubungan antara kedua buah negara terus diperkukuh demi manfaat rakyat Malaysia dan umat Islam khususnya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI