KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan mengesahkan tiada sebarang penambahan caj dikenakan kepada jemaah haji pada tahun ini.
Beliau berkata, segala persiapan dan persediaan oleh Tabung Haji (TH) berjalan lancar seperti yang dirancang dan memberi jaminan semua jemaah boleh ‘terbang’ ke Tanah Suci dengan tenang.
“On track (di landasan yang betul), tiada perubahan atau penambahan kerana TH sudah mempunyai mekanisme tersendiri. Malah, mereka juga sudah ada ‘task force’ (pasukan petugas) yang merancang pelan kontingensi. Setakat ini tiada peningkatan.
“Kepada semua jemaah haji, boleh terbang dengan tenang,” katanya selepas berucap di Majlis Perasmian Rahmah Madani MAIWP: Majlis Santunan Kasih Asnaf 2026 di Dewan Perdana Felda, Kampung Datuk Keramat, di sini hari ini.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, persiapan TH bagi menyantuni seramai 31,600 jemaah bagi musim haji 2026 dilaporkan telah siap sepenuhnya, sekali gus memberi jaminan kepada tahap keselesaan dan keselamatan bakal duyufurrahman di Tanah Suci.
Timbalan Pengarah Gerakan Operasi Haji Tanah Air, Mohd. Norber Kassim berkata, dalam konteks ini, TH telah bersedia sepenuhnya di lapan stesen di seluruh negara termasuk di Sepang bagi menghantar penerbangan pertama pada Sabtu ini. – KOSMO! ONLINE














