fbpx

Ketua jabatan digesa patuh arahan bekerja dari rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Semua ketua jabatan digesa mematuhi arahan keberadaan kakitangan di pejabat pada tahap maksimum 30 peratus dalam usaha membendung penularan Covid-19 ketika ini.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Adnan Mat berkata, pihaknya juga berharap agar semua ketua jabatan di perkhidmatan kerajaan peringkat negeri, badan berkanun, pihak berkuasa tempatan dan agensi kerajaan mematuhi arahan bekerja dari rumah (BDR).

“Dalam hal ini ketua jabatan perlu memastikan semua kakitangan di peringkat pengurusan dan pentadbiran yang tidak diperlukan berada di lapangan atau pejabat dijadualkan untuk BDR.

“Langkah ini boleh dilakukan sama ada secara penggiliran atau sepenuh masa supaya kehadiran di pejabat dapat dioptimumkan pada kadar kurang daripada 30 peratus,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, penetapan kakitangan yang perlu BDR juga harus diberikan keutamaan kepada golongan yang seperti mempunyai anak kecil, pasangan bertugas sebagai petugas barisan hadapan atau pasangan yang bekerja di sektor swasta dan perlu bertugas sepanjang tempoh PKPB berlangsung.

Beliau berkata, ketua jabatan perlu membuat penyusunan tugas mengikut kumpulan yang akan BDR dan kumpulan yang akan bertugas di lapangan bagi memastikan perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas sepanjang tempoh PKPB ini.

“Penggiliran untuk kumpulan yang BDR dan kumpulan yang akan bertugas di lapangan boleh dilakukan mengikut keperluan jabatan masing-masing agar tidak memberi kesulitan kepada kakitangan.

“Cuepacs yakin sebahagian besar kakitangan awam tidak berhadapan masalah untuk BDR memandangkan perkara ini sudah dilaksanakan pada Mac lalu ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan dan ia terbukti berkesan,” katanya.

Adnan berkata, mereka juga yakin pelaksanaan BDR yang akan mengurangkan sehingga 70 peratus kakitangan di lapangan atau pejabat tidak menjejaskan perkhidmatan dan penyampaian jabatan dan agensi kerajaan kepada rakyat.

Dalam masa yang sama, beliau menasihatkan masyarakat agar menyusun jadual mereka sekiranya perlu berurusan di pejabat-pejabat kerajaan bagi mengelakkan kesesakan berlaku.

“Perkhidmatan-perkhidmatan penting kerajaan masih lagi beroperasi seperti biasa.

Keutamaan perkhidmatan awam ketika ini adalah untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan dalam masa yang sama memutuskan rantaian penularan Covid-19,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI