fbpx
Raja Zarith Sofiah berkenan menerima mengadap Dr. Aman di Istana Bukit Serene, Johor Bahru, semalam.

Permaisuri Johor ikhtiar bantu ibu bapa terjejas Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU – Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah bertitah akan mengusahakan ikhtiar dengan membuat sumbangan keperluan makanan, lampin dan susu secara peribadi kepada para ibu bapa yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Titah baginda manakala keperluan perubatan seperti katil berpagar akan disalurkan melalui Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ).

Baginda memahami kesusahan yang dialami sesetengah ibu bapa yang terjejas pendapatan mereka akibat pandemik Covid-19 dan bantuan itu sedikit sebanyak akan meringankan beban mereka.

Raja Zarith bertitah, perancangan juga sedang dibuat untuk mengadakan sebuah rangkaian sokongan untuk para ibu bapa dan penjaga kepada pesakit kronik di wad pediatrik.

“Kita membincangkan mekanisme yang sesuai bagi membantu mereka daripada segi sokongan moral dan kemudahan untuk berehat di hospital semasa menjaga anak-anak mereka.

“Saya memahami kepadatan dan kekangan ruang yang dihadapi oleh pihak hospital, justeru perkara ini akan terus diperhalusi untuk kebaikan pesakit serta penjaga,” titah baginda dalam Facebook The Royal Johor di sini hari ini.

Terdahulu, Raja Zarith Sofiah berkenan menerima mengadap Pengarah Kesihatan Johor, Dr. Aman Rabu di Istana Bukit Serene semalam.

Perjumpaan berlangsung lebih satu jam itu membincangkan beberapa idea bagi membantu pesakit-pesakit di Hospital Sultan Ismail (HSI) dengan salah satu perkara utama diutarakan adalah keperluan barangan asas untuk pesakit di wad paliatif pediatrik seperti katil berpagar, tiub saluran makanan, lampin serta susu.

Hadir sama pada pertemuan itu Pengarah HSI, Dr. Azizah Riduan dan Pegawai Perubatan Pakar Pedriatik Nefrologi, Dr. Susan Pee.-K! ONLINE