fbpx

Dakwaan makan sehari sekali tidak benar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dakwaan palsu di Facebook mengenai pesakit Covid-19 diberikan makan sekali sehari.

Oleh SITI A’ISYAH SUKAIMI

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan menafikan dakwaan kononnya pesakit Covid-19 yang sedang dirawat di Hospital Tawau, Sabah hanya diberi makan sekali dalam sehari.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya telah menjalankan semakan dan siasatan serta mendapati, pesakit yang dirawat diberi makan mengikut jadual.

“Dakwaan tersebut tidak benar dan ia berita palsu. Semakan dijalankan mendapati pesakit diberikan sarapan pada pukul 7 pagi seterusnya pada pukul 12 tengah hari serta pukul 5.30 petang.

“Justeru, Kementerian Kesihatan menyeru orang ramai supaya elakkan menyebar berita palsu ini kerana menimbulkan kerisauan.

“Fasiliti hospital Kementerian Kesihatan menetapkan jadual makanan seharian jadi, dakwaan itu tidak betul, palsu dan harap tidak disebar,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian berhubung tular di dalam media sosial mengenai dakwaan pesakit Covid-19 di Hospital Tawau hanya diberi makan sekali dalam sehari.

Dakwaan itu mengatakan, jika pesakit diberikan sarapan, mereka tidak diberi makan tengah hari selain mendakwa ada yang diserang gastrik.

Sementara itu, Noor Hisham berkata, beliau mengakui dalam tempoh mencecah hampir 11 bulan ini, rakyat Malaysia berasa lesu memandangkan berdepan pandemik tersebut dalam jangka masa yang panjang.

“Kelesuan yang kita hadapi ini adalah dugaan dan cabaran untuk memerangi wabak ini dan jangan ambil mudah kerana virus ini tidak lesu malah, bermutasi aktif dengan kebolehjangkitan tinggi,” katanya.

Berikutan itu, beliau berkata, aktiviti kesihatan awam turut dipertingkatkan di Sabah dan Lembah Klang, malah Covid-19 turut berjaya dibendung di Sarawak.

“Apa yang pasti tindakan kita memutuskan rantaian dan menjalankan aktiviti survelan. Kita boleh bekerjasama dalam memutuskan rantaian,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Kementerian Kesihatan sedang memantau rapi pesakit yang telah pulih Covid-19 serta melihat susulan perkembangan kesihatan mereka.

“Kalau mereka ada jangkitan ringan atau tiada bergejala, kemungkinan kesan adalah kurang namun, jika di tahap empat atau lima, kesannya lebih.

“Jadi kita masih pantau mereka untuk melihat kesan jangka panjang dan sederhana termasuk keadaan paru-paru, sesak nafas dan sebagainya,” katanya. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI