fbpx

Markas Hizbut Tahrir Johor akan digempur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AYOB Khan

JOHOR BAHRU – Polis Johor akan bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) untuk menggempur markas gerakan Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) di negeri ini dalam masa terdekat.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya telah mengenal pasti seramai 45 individu daripada 80 pengikut yang masih bergiat aktif dalam gerakan itu.

Katanya, antara yang telah dikenal pasti termasuklah ketua HTM Johor.

“Saya akan berkolaborasi de­ngan JAINJ untuk mengempur markas berkenaan walaupun ia bukan dalam bidang kuasa polis, namun saya akan pastikan Jabatan Agama mengambil tindakan tegas.

“Sehubungan itu, kita akan gempur pusat gerakan ini di Skudai, saya akan bantu JAINJ, tunggu dan lihat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini semalam.

Semalam, gerakan HTM me­ngeluarkan satu kenyataan menerusi laman web rasmi mereka menafikan dakwaan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri, Tosrin Jarvanthi dan

Ayob Khan bahawa gerakan itu bercanggah dengan ajaran Islam di negeri ini.

Tambah Ayob Khan, pihaknya sekali lagi memberi amaran akan mengambil tindakan tegas sekiranya gerakan itu melangkaui garisan keselamatan.

“Ciri-ciri yang ditunjukkan gerakan ini sama seperti gerakan pengganas Daesh. Cuma mereka (Daesh) angkat senjata, yang ini (HTM) belum lagi.

“Oleh sebab itu, polis akan bekerjasama dengan JAINJ bagi menangani gerakan ini daripada berkembang,” ujarnya.

Sementara itu, Ayob Khan turut meminta masyarakat Islam khususnya di Johor untuk menghormati fatwa yang telah dike­luarkan Majlis Agama Islam Ne­geri Johor (MAINJ).

“Sekiranya ada ahli HTM yang mendakwa kenyataan saya sebagai fitnah, mereka perlu merujuk kembali risalah dan majalah yang dikeluarkan pihak mereka sendiri, antaranya melabelkan negara Islam moden sebagai kufur dan memerangi sistem demokrasi,” jelasnya.

Selain Johor, beberapa negeri lain turut mengeluarkan fatwa HTM bercanggah dengan ajaran Agama Islam antaranya Sela­ngor, Pahang, Sabah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan.

Kosmo! sebelum ini melaporkan kumpulan HTM dikesan merekrut ahli baharu mereka sejak mula bertapak di negeri ini 15 tahun lalu.

Kumpulan tersebut giat mencari ahli baharu dalam kalangan profesional dan berpendidikan tinggi seperti pelajar universiti, ahli akademik dan ahli perniagaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI