fbpx

Isu telekung Sajat, Mujahid perlu berani terima kritikan 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Harakah menegaskan bahawa bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof harus menerima teguran dan kritikan berhubung isu telekung usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau lebih dikenali sebagai Sajat sewaktu menunaikan umrah di Mekah.

Dalam pernyataan pembelaan oleh wartawan Harakah, Aziz Muda, Ketua Pengarangnya, Wan Nordin Wan Yaacob, penerbit laman sesawang harakahdaily dan akhbar Harakah, Galeri Media Serbanika Sdn. Bhd, selaku defendan berkata Mujahid sepatutnya tidak tersinggung dengan kritikan yang diberikan oleh masyarakat khususnya pengamal media berhubung isu berkenaan.

Menurut pernyataan pembelaan itu, ketiga-tiga defendan mendakwa mereka telah melaksanakan tanggungjawab sebagai penulis dan pengamal media untuk memberikan laporan berdasarkan kepada kenyatan-kenyataan oleh Mujahid, selaku plaintif dalam kes saman fitnah berkenaan.

Kesemua defendan berkata bahawa mereka berada di bawah tanggungjawab politik, moral dan sosial untuk menyebarkan pandangan berbeza dalam masyarakat khususnya berkenaan isu pendekatan “Rahmatan Lil Alamin (Rahmat ke Sekalian Alam) dan juga konsep ‘Amar Maaruf Nahi Munkar’ (Suruhan berbuat baik dan larangan berbuat mungkar).

Kata pernyataan itu lagi, ketiga-tiga defendan dalam apa jua keadaan telah melaksanakan tanggungjawab selaku penulis dan pengamal media untuk memberikan laporan berdasarkan kepada keadaan semasa yang disandarkan sendiri kepada kenyataan-kenyataan dan pendekatan atau pendirian plaintif.

Selain itu defendan juga mendakwa tidak pernah mempunyai apa-apa niat jahat ke atas bekas menteri itu dalam penerbitan artikel berkenaan kerana ia adalah berdasarkan ulasan saksama.

Pernyataan pembelaan yang difailkan pada 28 September itu diperoleh menerusi peguam Yusfarizal Yussoff.

Sementara itu, peguam Noorazmir Zakaria yang mewakil,i Mujahid yang telah menjawab pernyataan pembelaan itu pada 16 Oktober lalu, memberitahu bahawa kes saman tersebut ditetapkan untuk pengurusan kes selanjutnya pada 23 Oktober ini secara e-review.

Hari ini merupakan pengurusan kes saman itu di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Nurul Atikah Muhammad secara e-review.

Terdahulu pada 12 Ogos lalu, Mujahid selaku plaintif memfailkan saman itu dengan menamakan Aziz, Wan Nordin, Galeri Media dan pencetak akhbar itu, Percetakan Turbo (M) Sdn. Bhd. sebagai pertama hingga keempat.

Dalam penyataan tuntutan, Mujahid mendakwa pada 7 Februari lalu, Aziz, Wan Nordin dan Galeri Media telah menulis dan menerbitkan kenyataan memfitnah terhadap plaintif di laman sesawang harakahdaily menerusi artikel bertajuk “Sajat:Mujahid dan K’jaan PH patut dipersalahkan” dan menerbitkan satu lagi kenyataan memfitnah terhadapnya di akhbar Harakah bertarikh 10 hingga 13 Februri lepas menerusi artikel “Keterlanjuran Sajat kesilapan Mujahid dan kerajaan PH”.

Mujahid mendakwa kata-kata fitnah itu antara lain membawa maksud bahawa beliau seorang yang tidak bertanggungjawab apabila membenarkan masyarakat khususnya yang beragama Islam terlibat di dalam aktiviti Lesbian Gay Bisexual Transexual (LGBT) selain didakwa menjadi punca kepada tindakan Sajat yang memakai telekung dan berpakaian seperi wanita sewaktu menunaikan umrah di Mekah.

Ekoran kenyataan-kenyataan fitnah itu telah menjatuhkan maruah, kredibiliti dan reputasinya selaku menteri yang menjaga hal ehwal agama di Jabatan Perdana Menteri termasuk mengalami tekanan dan berasa malu untuk berhadapan dengan masyarakat.

Dakwanya, isu individu bernama Sajat ini telah dijadikan satu isu untuk menjatuhkan reputasi plaintif seolah-olah beliau menggalakkan amalan LGBT dan persetubuhan haram khususnya dalam kalangan umat Islam.

Menurut plaintif, satu notis tuntutan telah dihantar kepada kesemua defendan namun mereka gagal mematuhi notis tersebut.

Oleh itu, plaintif menuntut perintah bahawa defendan-defendan hendaklah membuat permohonan maaf terbuka kepadanya atas kenyataan-kenyataan fitnah itu dan perlu mengiklankan atau diterbitkan di akhbar tempatan berbahasa Melayu dalam tempoh 14 hari dari tarikh penghakiman.

Plaintif juga turut menuntut defendan-defendan perlu menarik balik artikel yang diterbitkan itu dan memberi aku janji untuk tidak akan menulis dan melaporkan kenyataan-kenyataan berunsur fitnah terhadap dirinya.

Plaintif turut menuntut faedah lima peratus ke atas ganti rugi yang dibenarkan oleh mahkamah dari tarikh writ saman hingga penyelesaian penuh, kos dan refif lain yang sesuai. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI