fbpx

Rumah penduduk rosak dalam kejadian ribut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rumah penduduk rosak dalam kejadian ribut.

Oleh ROHANA MOHD. NAWI

KOTA BHARU – Sebanyak 25 rumah di beberapa buah kampung dalam daerah ini rosak apabila bumbung diterbangkan angin dan dihempap pokok dalam kejadian ribut petir petang semalam.

Kampung yang terlibat dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu adalah Kampung Likong, Kampung Pauh Butut, Kampung Parit, Kampung Kubang Kachang dan Kampung Bechah Keranji, Peringat di sini.

Kesemua rumah mengalami kerosakkan teruk di bahagian bumbung selepas diterbangkan angin dalam tempoh 30 minit hujan melanda kawasan itu.

Seorang penduduk Kampung Kubang Kachang, Abdul Salam Ismail, 48, berkata ketika kejadian, dia berada di dalam rumah sebelum terdengar dentuman yang amat kuat dari atas bumbung.

“Selepas hujan dan ribut reda, saya melakukan pemeriksaan sebelum mendapati tangki air turut diterbangkan angin dan menghempap bumbung rumah pusaka ayah.

“Kejadian itu menyebabkan sebahagian bumbung rumah pecah, namun saya bersyukur apabila tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku terhadap ahli keluarga,” katanya.

Abdul Salam berkata, keseluruhan kerosakkan bumbung rumahnya itu dianggarkan bernilai RM5,000.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Mukim Parit, Wan Azizi Wan Abdul Ghani berkata, dia dimaklumkan oleh beberapa penduduk mengenai kejadian ribut dan kebanyakan rumah mengalami kerosakkan di bahagian bumbung.

“Kebanyakan rumah penduduk rosak teruk. Ada rumah yang dihempap pokok tumbung selain bumbung diterbangkan angin.

” Saya melihat kerosakkan yang dialami mereka dianggarkan berjumlah antara RM2,000 hingga RM5, 000, ” ujarnya.

Sehubungan itu, Wan Azizi berkata, dia memohon kerjasama pihak berkaitan agar tampil menyalurkan sumbangan bagi meringankan beban mangsa yang terlibat.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Tumboh, Ayob Mahmood berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung pokok besar tumbang dan menghempap sebuah rumah banglo di Kampung Bechah Keranji, Peringat, kira-kira pukul 4.02 petang.

Katanya, sepasukan lima anggota bergegas ke tempat kejadian untuk memotong pokok yang melintang di kawasan jalan raya.

“Kita mengambil masa lebih sejam untuk menyiapkan kerja-kerja memotong pokok yang tumbang dengan menggunakan mesin pemotong,” ujarnya.

Ayob berkata, kerja-kerja memotong dan membersih laluan siap sepenuhnya kira-kira pukul 5.25 petang. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI