fbpx

Remaja melecur rumah terbakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kebakaran melibat sebuah rumah hangus 100 peratus yang didiami enam sekeluarga selain kereta dan motosikal hangus di Kampung Semut Api, Jalan Pantai Cahaya Bulan Kota Bharu, pagi tadi.

Oleh ROSLIZA MOHAMED

KOTA BHARU – Seorang remaja melecur pada bahagian badan dan muka selepas rumahnya di Kampung Semut Api, Jalan Pantai Cahaya Bulan dijilat api di sini pagi tadi.

Mangsa, Fahmi, 17, yang mengalami melecur 30 peratus pada bahagian badannya kemudian dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Ketika kejadian, mangsa bersama lima ahli keluarganya sedang tidur di dalam bilik dan ruang tamu rumah kira-kira pukul 6.05 pagi.

Sepupu mangsa, Faziana Wan Ngah, 27, berkata, kejadian disedari seorang ahli keluarga mereka selepas terasa bahang panas dari tepi dinding dan ketika api itu telah merebak ke bahagian bumbung.

“Berikutan itu, mereka bergegas menyelamatkan diri masing-masing melalui pintu dapur dan pintu belakang rumah.

“Saya difahamkan dalam keadaan api sedang marak, Fahmi telah diselamatkan oleh ahli keluarganya,” katanya ketika ditemui Kosmo! di lokasi kejadian.

Faziana yang tinggal berdekatan rumah itu bersyukur kerana lima ahli keluarga termasuk ibu bapa saudaranya selamat.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Timbalan Penguasa Bomba Zukeri Shafie berkata, tiga jentera bersama seorang pegawai dan 20 anggota ke lokasi sebaik menerima panggilan pada pukul 6.19 pagi.

“Mangsa yang melecur ketika itu sudah dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

“Dalam kebakaran itu rumah tersebut hangus 100 peratus selain sebuah kereta jenis Proton Wira serta lima buah motosikal turut terbakar dan punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI