fbpx
Gambar hiasan

Pagar SPRM jadi usikan netizen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
ATIKAH DALI
PENGARANG BERITA

Sejak awal bulan ini, perhatian rakyat Malaysia tertumpu kepada seorang lelaki bergelar Datuk yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Lelaki itu yang dikatakan kerap mempamerkan kemewahannya di media sosial sebelum ini direman sejak 2 Oktober lalu untuk siasatan berhubung kes berkaitan pengubahan wang haram (AMLA).

Turut diberkas seorang lagi individu bergelar Datuk Seri yang turut dikaitkan dengan jenayah sama.

Tangkapan ke atas dua figura itu dibuat selepas badan bebas berkenaan memanggil seorang selebriti yang juga ahli perniagaan untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan di bawah AMLA.

Selepas tangkapan dibuat, satu demi satu pembongkaran dilakukan oleh SPRM dan dilaporkan oleh media termasuk penglibatan kumpulan tersebut dalam judi online dan Macau Scam.

Turut diheret ke mahkamah untuk direman membantu siasatan adalah pegawai dan anggota polis yang didakwa melindungi kumpulan taikun tersebut.

Ada pegawai polis berpangkat Asisten Komisioner turut dipanggil. Bukan seorang, tetapi tiga orang setakat semalam. Kerana pembongkaran dan tangkapan kes itu, merit SPRM terus melonjak.

Orang ramai menaruh harapan tinggi kepada SPRM untuk menyiasat kes itu dan membawa mereka ke muka pengadilan.

Harapkan panas hingga ke petang, rupa-rupanya hujan di tengah hari. Kehilangan Datuk Seri dari kawasan pagar SPRM di Putrajaya pada Ahad lalu sebaik dibebaskan dengan jaminan menjadi bualan.

Datuk Seri itu disedari hilang ketika mahu diberkas semula oleh polis untuk siasatan berkaitan kes judi di Cheras. Lelaki itu dikatakan memanjat pagar SPRM.

Kejadian memanjat tembok itu mula menjadi buah mulut netizen. Pagar dan tembok bangunan SPRM dimuat naik di media sosial untuk dibincangkan.

Kerja keras pasukan itu melakukan soal siasat selama berminggu-minggu seolah-olah dilupakan, namun pagar dan tembok bangunan SPRM pula yang mencuri tumpuan netizen.

Baik polis mahupun SPRM, kedua-dua pihak berkuasa itu sepatutnya mengeluarkan kenyataan rasmi dan memberi penjelasan supaya orang ramai tidak membuat andaian kerana ia membabitkan soal kredibiliti dan profesionalisme.

Kedua-dua pasukan itu membisu walaupun lima hari telah berlalu. Masa terus berlalu, rakyat sedang menilai.

BERITA BERKAITAN