fbpx

Kesihatan Cikgu Chung normal, tiada masalah mental

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pegawai kesihatan dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kinta melakukan ujian kesihatan dan DASS terhadap Cikgu Chung di rumahnya di Taman Bersatu di sini hari ini sambil diperhatikan Ahmad Saidi dan Dr. Wan Norashikin.

IPOH – Keputusan Ujian Saringan Kesihatan Mental (DASS) yang dilakukan terhadap seorang pesara guru yang menjadikan hobi mengutip serta membawa pulang sampah ke rumahnya mendapati wanita berusia 63 tahun itu normal dan tiada masalah mental.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, ujian yang dilaksanakan pegawai dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kinta mendapati perbuatan mengutip dan mengumpul sampah oleh Chung Sook Khuan atau Cikgu Chung itu mungkin disebabkan kebiasaan atau tabiatnya setiap hari.

“PKD Kinta telah melakukan ujian kesihatan fizikal dan mental terhadap Cikgu Chung dan mendapati tahap kesihatan fizikalnya seperti kandungan gula dalam darah dan tekanan darah adalah normal dan sihat.

“Tahap kesihatan mental beliau juga normal selepas pakar psikologi bertanyakan beberapa soalan berkaitan. Menurutnya, mungkin perkara ini berlaku disebabkan tabiatnya setiap pagi yang keluar rumah untuk kutip sampah,” katanya ketika ditemui pemberita di Taman Bersatu di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat Perak, Datuk Dr. Wan Norashikin Wan Noordin.

Tambah Ahmad Saidi, PKD Kinta juga telah melakukan sanitasi terhadap kawasan termasuk di dalam rumah Cikgu Chung.

“Kegusaran kita adalah sekiranya timbunan sampah-sarap yang dikumpul Cikgu Chung ini akan menyebabkan wabak lain seperti demam denggi atau chikungunya kerana timbunan sampah ini boleh menjadikan kawasan ini sebagai tempat pembiakan nyamuk Aedes.

“Namun hasil pemantauan dan semakan rekod mendapati tiada kes denggi di kawasan ini. Kalau ada pun sudah lama sangat,” katanya.

Sementara itu, Wan Norashikin berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat telah pun memulakan sesi kaunseling terhadap pesara guru tersebut secara berkala bermula hari pertama lawatannya ke rumah itu sebelum ini.

“Sesi kaunseling telah berjalan dengan minggu pertama dua sesi diadakan dan kita tengok ada perubahan baik yang ditunjukkan Cikgu Chung. Mungkin selepas ini JKM akan buat sekali seminggu atau sekali dua minggu bergantung kepada perubahan beliau.

“Ia akan berterusan sehingga Cikgu Chung benar-benar pulih sepenuhnya,” katanya.

Katanya, lawatan pada hari ini juga menunjukkan perubahan sikap pada Cikgu Chung apabila dia tidak lagi mengumpulkan sampah di rumah sebaliknya terus membawanya ke pusat kitar semula berhampiran.

Kosmo! pada Sabtu lalu melaporkan, kira-kira lima tan sampah dikeluarkan dari rumah yang didiami Cikgu Chung dalam tempoh lima jam dengan menggunakan lima buah lori.

Sikapnya yang suka mengutip sampah dan mengumpulkannya di halaman rumah sejak sepuluh tahun lalu itu menimbulkan perasaan kurang senang dalam kalangan jirannya.  – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI