Oleh NURFARHANA MOHAMED
HIKMAH tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan lantaran pandemik Covid-19 pada Mac lalu telah memberi semangat baru buat pelakon tinggi lampai, Hafreez Adam.
Tempoh tiga bulan ‘berkurung’ di rumah dimanfaatkan sepenuhnya untuk perbaiki kesilapan lalu selain cuba refleksi diri untuk menjadi lebih baik.
Jika dahulu, dia mudah menuding jari mencari kesalahan orang lain, kini pelakon Puteri Yang Ditukar itu lebih rasional, dia sedar banyak yang perlu diperbetulkan dalam dirinya.
“Mungkin saya agak senyap kebelakangan ini. Tetapi diam tak diam, drama lakonan saya sudah selesai penggambaran.
“Banyak hikmah yang saya dapat bila PKP dilaksanakan beberapa bulan lalu. Saya jadikan tempoh itu sebagai fasa bertenang dan refleksi diri.
“Saya cari balik apa kesilapan saya pada teman-teman rapat dan keluarga.

“Bila bercakap tentang refleksi diri, tak hanya fokus terhadap hubungan percintaan semata-mata, tetapi termasuklah juga hubungan persahabatan,” ulasnya.
Tambah pelakon berusia 30 tahun itu lagi, sebelum PKP, dia seorang yang kuat bekerja sehinggakan kurang ada masa untuk keluarga dan teman rapat.
Bahkan pelakon drama Monalisa itu juga mengakui, ada dalam kalangan sahabatnya mula menjauhkan diri ekoran kesibukan jadualnya bergelar anak seni.
“Saya tahu, dahulu saya terlalu sibuk dengan kerjaya sehinggakan jika ada perancangan untuk lepak bersama kawan-kawan, mesti akan kurang seorang ahli. Orang itu ialah saya.
“Perlahan-lahan mereka menjauh kerana menganggap saya melayan mereka dengan cara berbeza.
“Keadaan menjadi lebih teruk apabila saya bertunang tanpa membuat hebahan kepada semua orang, hanya keluarga dan sebahagian sahabat yang tahu. Ramai yang tidak diberitahu,” katanya memberikan penjelasan.

Tak sorok cinta
Tidak serik untuk bercinta meskipun sebelum ini pernah mengalami episod putus tunang dengan pelakon Zara Zya, Hafreez memberi bayangan untuk tidak serik kembali berkasih.
Cumanya, dia masih belum diizinkan ruang dan peluang untuk mencari bakal teman hidup memandangkan jadual lakonan yang ketat, selain keutamaan harus diberikan kepada ibu serta adik-beradiknya.
“Percubaan ke arah itu, memang ada. Tambahan pula ada yang cakap, sila move on.
“Tinggal lagi, saya tidak mencari dan tidak berhenti untuk bercinta. Kebanyakan masa saya sekarang ialah duduk di rumah dan keluarga sahaja.
“Saya tiada masa untuk keluar atau lepak dengan kawan-kawan. Maksudnya, saya jarang berjumpa dengan orang luar.
“Namun, saya tak serik untuk bercinta dengan golongan artis buat kali kedua. Bagi saya, situasi itu bonus kerana masing-masing dah faham corak kerja dalam industri seni, jadi tak timbul masalah di belakang hari.
“Tambah lagi, suasana kerja saya memang 24 jam dengan orang belakang dan hadapan tabir. Jadi, saya nak seseorang yang faham kerja. Tapi tak mustahil juga jika saya berjodohan wanita yang bukan dalam kalangan anak seni,” ungkapnya.
Hafreez juga mengakui, jika suatu hari nanti hatinya kembali dimiliki, dia tidak akan menyembunyikan perkara tersebut daripada pengetahuan umum.
“Jika ada atau jodoh sudah sampai, saya tak akan berdiam atau menyorokkan hubungan. Tapi apa yang boleh diulas, saya tidak akan terbuka lagi untuk bercakap soal cinta macam dahulu.
“Sebab, apabila saya terlalu terbuka, orang luar hanya tahu kisah luaran dan terus membuat spekulasi tidak betul.
“Sedangkan mereka tidak tahu cerita sebenar. Bila buat spekulasi yang salah, perkara itu akan jadi punca masalah dalam sesebuah perhubungan.
“Benda pertama saya nak betulkan apabila kembali bercinta ialah komunikasi. Dalam hubungan terdahulu, saya banyak berdiam dan terlalu ego untuk berdepan dengan masalah,” luahnya.
Hafreez pernah mengikat tali pertunangan bersama Zara pada Oktober tahun lalu, namun hubungan mereka terkandas di tengah jalan selepas masing-masing sepakat untuk memutuskan ikatan tersebut pada penghujung tahun lalu.

Kegelisahan melampau
Berkongsi lanjut kegelisahan dan kebimbangan melampau yang dialami sejak beberapa tahun lalu, Hafreez masih lagi bergelut dengan masalah itu sehingga ke saat ini.
Meskipun dia perlahan-lahan cuba untuk ‘berlawan’ dengan perasaan, namun ada masanya dia tewas.
Lantaran itu jugalah membuatkan kelibat pemilik nama sebenar Hafreez Adam Aizat Zahalan jarang kelihatan dalam acara-acara hiburan.
“Saya mudah diserang masalah anxiety atau kegelisahan melampau kalau keluar dari rumah sebab dalam fikiran saya, saya paranoid dan takut tidak akan dapat berjumpa lagi keluarga.
“Sebab itu saya jarang ada dalam mana-mana majlis hiburan. Kalau keluar ke pusat beli-belah, saya tak boleh bertentang mata dengan orang lain, jantung tiba-tiba berdegup laju, sebab itu saya sering pandang papan tanda.
“Saya pernah suarakan hal ini kepada teman rapat dan ingin berjumpa dengan pakar untuk cari punca masalah. Tetapi kawan saya cakap, saya hanya akan bergantung dengan ubat.
“Sebab itulah sehingga kini, saya tidak berjumpa dengan mana-mana pakar untuk dijadikan rujukan,” akhirinya.















