fbpx

Bayi derita jantung berlubang sejak lahir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nor Hasliza memberi minum susu kepada Muhammad Haziq Nazmi dengan menggunakan tiub di Kampung Keda Wang, Padang Sera, Kodiang, Kubang Pasu semalam.

Oleh MOHD. RIFAAT ABD HAMID

JITRA – Seorang bayi lelaki ber­usia lima bulan yang menderita penyakit jantung berlubang dan masalah paru-paru sejak dilahirkan memerlukan sumbangan untuk menampung kos rawatan susulan.

Bayi itu, Muhammad Haziq Nazmi Anorazmi yang juga menghidap sindrom Down perlu membuat rawatan susulan di Hospital Pulau Pinang dari semasa ke semasa bagi merawat masalah kesihatannya.

Bapanya, Anorazmi Saad, 37, yang bekerja kampung dan ibunya, Nor Hasliza Hashim, 35, pula seorang suri rumah tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi bagi membiayai kos rawatan anak keempat mereka itu.

Nor Hasliza memberitahu, pendapatan bulanan suaminya yang tidak menentu memberikan tekanan kepada mereka untuk berulang-alik membawa bayi itu mendapatkan rawatan di Pulau Pinang.

“Kami terpaksa menyediakan pembelanjaan kira-kira RM500 untuk tujuan sewa kereta, mi­nyak, tol dan makan setiap kali membawa bayi kami ke Hospital Pulau Pinang.

“Dengan pendapatan suami yang tidak sampai RM1,000 sebulan, memang kami terpaksa berjimat-cermat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Keda Wang, Padang Sera, Kodiang di sini semalam.

Nor Hasliza berkata, bayinya itu mempunyai temu janji dengan doktor di Hospital Pulau Pinang pada 14 Oktober ini.

Selain itu, tambahnya, Muhammad Haziq Nazmi juga perlu diberikan susu melalui tiub setiap tiga jam mengikut sukatan yang telah ditetapkan oleh doktor.

“Alhamdullilah bayi saya itu baru menerima bantuan wang zakat sebanyak RM300 pada bulan lepas dan boleh dibelanjakan untuk membeli keperluan se­perti susu,” ujarnya.

Menurutnya, anak sulungnya berusia 13 tahun juga adalah seorang kurang upaya masalah pembelajaran dan dua lagi anaknya berusia tujuh serta tiga tahun.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga tersebut boleh menghubungi Nor Hasliza di talian 012-4504134 atau me­nyalurkan sumbangan di akaun Bank Simpanan Nasional, 02995-41-10036787-7.-K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI