fbpx

20 pegawai kanan polis disiasat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.

PUTRAJAYA – Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes pengubahan wang haram kini tertumpu kepada pegawai dan agensi penguat kuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pegawai penguat kuasa itu disiasat bagi membantu siasatan berhubung kes melindu­ngi kegiatan judi online dan Macau Scam yang dipercayai mempu­nyai kaitan dengan penahanan ke atas individu bergelar Datuk Seri dan Datuk baru-baru ini.

Dianggarkan, kira-kira 20 Ke­tua Polis Daerah (KPD) di sekitar Lembah Klang kini berada dalam radar suruhanjaya berkenaan untuk dipanggil memberi kete­rangan dalam masa terdekat.

Kelmarin, seramai lima KPD dari beberapa daerah di Lembah Klang yang berpangkat Asisten Komisioner telah dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan.

Menurut sumber, kelima-lima pegawai kanan itu bagaimanapun dilepaskan selepas selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya di sini.

“Setakat ini, tiada tangkapan baharu membabitkan pegawai dan anggota PDRM bagi membantu siasatan berhubung kes pengubahan wang haram,” katanya di sini semalam.

Setakat semalam, SPRM telah memanggil seramai sembilan pegawai polis termasuk lima KPD tersebut.

Ada dalam kalangan mereka yang dipanggil itu berkhidmat di Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri.

“Gerakan mengesan saki-baki sindiket itu kini tertumpu kepada agensi penguatkuasaan yang terlibat dengan sindiket tersebut.

“Fasa seterusnya adalah memberi fokus kepada individu atau syarikat yang telah dikenal pasti terlibat dalam pengubahan wang haram,” kata sumber itu.

Sementara itu, sumber berkata, tahanan reman ke atas dua ahli perniagaan bergelar Datuk Seri dan Datuk dilanjutkan dua hari lagi bermula semalam.

Artikel berkaitan : SPRM siasat Datuk Seri, Datuk

“Kedua-dua suspek sebelum ini ditahan reman sejak 2 Oktober lalu bersama tiga lagi individu lain bagi membantu siasatan kes pengubahan wang haram,” katanya.

Mengulas lanjut, setakat ini, sebanyak 736 akaun bank berjumlah RM101 juta dipercayai milik sindiket yang dikaitkan dengan perniagaan selebriti turut dibekukan bagi membantu siasatan. Turut disita wang tunai berjumlah RM5 juta yang dirampas daripada sindiket berkenaan.

Mengenai individu yang diminta tampil membantu siasatan, sumber itu berkata, pihak­nya meminta mereka segera berhubung dengan SPRM sebelum tindakan diambil.

“Kita akan memberi masa selewat-lewatnya sehingga Isnin ini (esok) untuk mereka serah diri,” katanya.

Sebelum ini, SPRM mendedahkan pihaknya memiliki senarai nama selebriti tanah air, ahli perniagaan dan individu yang pernah menerima wang daripada sindiket penipuan Macau Scam yang ditahan baru-baru ini.

Sehubungan itu, SPRM menyeru individu berkenaan supaya segera tampil untuk memberi maklumat.

Sindiket terbabit disyaki memberi wang tunai kepada individu berkenaan untuk menjalankan perniagaan yang sah sebagai cara untuk ‘cuci’ duit haram itu.

SPRM memberi jaminan bahawa mereka akan dijadikan sebagai saksi, jika sanggup be­kerjasama dan akan dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.-K! ONLINE

Artikel berkaitan : Jangan sampai SPRM panggil 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI