fbpx

Jangan sampai SPRM panggil – Azam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBAHAGIAN daripada lima individu dibawa SPRM ke Mahkamah Majistret Putrajaya pada Jumaat minggu lalu untuk mendapat perintah tahanan reman bagi membantu siasatan kes penipuan Macau Scam.

Oleh MOHD. HUSNI MOHD. NOOR

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan pihaknya memiliki senarai nama selebriti tanah air, ahli perniagaan dan individu yang pernah menerima wang daripada sindiket peni­puan Macau Scam yang ditahan pihaknya baru-baru ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, beliau menyeru individu ber­kenaan supaya segera tampil untuk memberi maklumat berkaitan sindiket terbabit dan seterusnya membolehkan pihaknya menjalankan siasatan lanjut.

Menurutnya, sindiket terbabit disyaki memberi wang tunai kepada individu berkenaan untuk menjalankan perniagaan yang sah sebagai salah satu cara untuk ‘mencuci’ duit haram itu.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan senarai nama selebriti tanah air, ahli perniagaan atau individu-individu yang pernah menerima dana daripada sindiket Macau Scam tersebut.

“Senarai nama itu merujuk kepada mana-mana pihak atau individu yang pernah dan mungkin menerima dana daripada mereka (sindiket) yang ditahan itu,” katanya dalam temu bual secara langsung menerusi MACC.FM di sini semalam.

 

SALAH sebuah kereta mewah yang dirampas SPRM daripada sindiket Macau Scam.

 

Azam memberitahu, individu-individu yang disenaraikan itu lebih baik datang sendiri ke Ibu Pejabat SPRM secara sukarela bagi membantu siasatan kes sebelum pihaknya memanggil mereka.

Katanya, siasatan adalah rumit kerana pihaknya mendapati, beratus-ratus syarikat dummy yang sengaja diwujudkan oleh sindiket terbabit untuk menya­lurkan duit selain banyak aset yang disyaki sudah terlibat dalam kegiatan pengubahan wang haram.

“Datang sendiri ke SPRM se­belum kami panggil mereka kerana apabila kita yang panggil, akan menjadi tidak berapa ‘cantik’.

“Saya tidak mahu membuat spekulasi siapa yang akan dipanggil. Saya percaya kepada kata bidalan orang Melayu, siapa makan cili, dia terasa pedasnya. Jadi, tak payah kami panggil.

“Kami akan layan mereka de­ngan baik, jadi berilah kerjasama kepada kami. Saya tak nak gunakan ayat ‘serah diri’, sebaliknya sila tampil ke hadapan. Itu ayat paling lembut yang saya boleh gunakan,” ujarnya.

Azam berkata, beliau memberi jaminan bahawa individu berkenaan hanya akan dijadikan sebagai saksi sekiranya mereka sanggup bekerjasama dengan SPRM.

“Jadi datanglah kepada kita dan beri maklumat. Pemberi maklumat juga akan dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010. Kami juga jamin identiti mereka akan di­lindungi,” katanya.

Pada Sabtu lalu, Kosmo! mela­porkan, SPRM menahan reman lima individu termasuk dua lelaki bergelar Datuk Seri dan Datuk bagi membantu siasatan kes penipuan Macau Scam dan pengubahan wang haram.

Lelaki bergelar Datuk Seri yang juga dipercayai tauke judi online itu disyaki menggunakan wang hasil kegiatan haram untuk menjalankan perniagaan bersama beberapa selebriti terkenal.

Datuk Seri dan isterinya yang turut ditahan juga dipercayai sering berparti bersama beberapa selebriti popular selain tidak segan silu mempamerkan kehidupan mewah mereka di media sosial.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI