PUTRAJAYA – Dua kes positif Covid-19 dikesan membabitkan jururawat di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Queen Elizabeth II, Kota Kinabalu, Sabah selepas saringan ke atas kesemua petugas kesihatan di situ dibuat pada 9 Oktober lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, seorang jururawat di ICU hospital terbabit didapati bergejala dan saringan mendapati mangsa positif Covid-19 serta telah menjangkiti seorang jururawat lain.
“KKM masih menyiasat jika mangsa mendapat jangkitan daripada komuniti atau semasa bertugas di hospital,” katanya ketika menjawab soalan pemberita pada sidang akhbar secara langsung di Facebook Live KKM hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah portal berita yang mendakwa seramai 40 daripada 66 jururawat di wad ICU Hospital Queen Elizabeth II, Kota Kinabalu terpaksa dikuarantin setelah sekurang-kurangnya seorang kakitangan disahkan positif Covid-19.
Sementara itu, Noor Hisham berkata, seramai 579 petugas kesihatan di negara ini dijangkiti Covid-19 sejak pandemik itu melanda negara.
“Daripada jumlah itu, 198 kes membabitkan petugas kesihatan di Sabah. Sebanyak 68 kes dikesan pada bulan September manakala 85 kes setakat bulan ini,” katanya.
Dalam perkembangan berbeza, Noor Hisham berkata, KKM dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang merancang mewujudkan hospital medan di Tawau.
Beliau berkata, pesakit-pesakit bukan Covid-19 dari Hospital Tawau akan dirawat di hospital medan khususnya untuk perkhidmatan Obstetrik dan Ginekologi, Pediatrik dan Pembedahan Am.
“Ini akan memberi lebih banyak ruang kepada Hospital Tawau untuk merawat kes-kes yang memerlukan penjagaan rapi (kategori 3 – 5) termasuk yang dirujuk dari daerah berdekatan khususnya Semporna,
“Kes-kes yang tidak mempunyai gejala atau gejala ringan (kategori 1 dan 2) akan terus ditempatkan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC),” katanya.
Katanya, KKM masih dalam peringkat perbincangan untuk menempatkan hospital medan itu di Kompleks Sukan Tawau tertakluk kepada kesesuaian.
“Perancangan awal adalah bagi menempatkan 100 katil di hospital medan ini, dan kapasiti serta
keperluan kemudahan lain akan dinilai dari semasa ke semasa,” katanya. – K! ONLINE.














