fbpx

Anak Sarawak bina nama di Hollywood

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ALVIN WEE

SEBAGAI pekerja belakang tabir, nama Alwin Wee tidak segah seperti segelintir selebriti terkenal tanah air yang berjaya mencipta nama, di dalam mahupun di luar negara.

Dia bukanlah personaliti popular seperti Tan Sri Michelle Yeoh, Yuna, Zee Avi, Henry Golding dan pengarah, James Wann antara anak kelahiran Malaysia yang berjaya mengukir nama sebaris dengan bintang ternama Hollywood.

Bercerita tentang pemilik nama Alvin Wee, kerjayanya sebagai penerbit, pengadun bunyi dan pemuzik juga tidak kurang hebat apabila telah banyak bekerjasama dengan penyanyi-penyanyi ternama antarabangsa.

Bahkan, Alvin juga banyak bekerjasama dengan penggiat filem untuk runut bunyi beberapa buah filem block buster.

Menurut lelaki yang berasal dari Kuching, Sarawak itu, kerjayanya bermula selepas dia mendapat peluang mengadun latar muzik untuk siri permainan video terkenal Jepun, Final Fantasy sejurus menamatkan pengajian dalam jurusan program muzik di di salah sebuah universiti di Boston, Amerika Syarikat (AS).

ALVIN bersama Harry Gregson-Williams, seorang penerbit yang pernah terlibat dalam penghasilan filem Spy Game, Man On Fire dan Phone Booth.

Antarabangsa

“Sebagai pengadun bunyi saya perlu menjadi jurutera menggabungkan pelbagai elemen muzik.

“Sebagai contoh, menggabungkan muzik yang dimainkan secara band dengan muzik orkestra. Saya perlu mahir menggabungkan kedua-dua bentuk muzik untuk mendapatkan keserasian dan hasil menarik,” kata lelaki berusia 32 tahun itu.

Mengakui lebih selesa dan gemar menghabiskan masa di dalam studio, Alvin menyifatkan karier sebegitu sebagai tuah kerana dapat bekerjasama dengan ramai pemuzik dan komposer ternama dunia.

Perjalanan karier Alvin menjadi semakin menyerlah apabila dia diambil sebagai pembantu penerbit dan berpeluang bertemu dan bekerjasama dengan beberapa penyanyi antarabangsa seperti Bruno Mars, Katy Perry, Rihanna dan Beyonce.

TANPA banyak publisiti, kepakaran dan kredibiliti anak Malaysia bernama Alvin Wee sebenarnya cukup dikenali karyawan di luar negara.

Belum puas berkreativiti dengan penyanyi pentas, Alvin mengorak langkah baharu apabila bekerjasama dengan Al Clay yang dianggap sebagai mentor untuk memberi sentuhan magis pada muzik latar dalam karya filem.

Siapa sangka, filem-filem seperti Kingsman 2: The Golden Circle, Kung Fu Panda 3, MEG, The Zookeeper’s Wife, Thirteen Hours: The Soldiers of Benghazi dan Eddie the Eagle mempunyai sentuhan daripada anak Malaysia itu.

Tidak hanya kerjasama dengan karyawan luar, Alvin juga enggan terlepas peluang kolaboratif dengan pemain industri muzik tempatan.

Dia bahkan mengakui, amat mengagumi aliran muzik di tanah air sendiri.

Dalam arena industri muzik tempatan, Alvin telah bertindak sebagai produser dan pengadun bunyi lagu Arena Cahaya, hasil ciptaan penyanyi Zee Avi dan komposer, Rendra Zawawi untuk filem Ola Bola.

Selain menjadi salah sebuah filem Box Office di Malaysia, lagu Arena Cahaya turut mencatat sejarah gemilang apabila memenangi anugerah Lagu Tema Terbaik pada acara Golden Horse Film Festival 2016.

Pada 2017, Alvin juga bertindak sebagai produser dan penulis bersama untuk lagu Together We Rise nyanyian Jaclyn Victor dan Vince Chong, yang merupakan lagu tema Sukan SEA ke-28 di Kuala Lumpur.

“Saya memang berasa sangat gembira bekerja di belakang tabir dan bangga dengan pencapaian diri sendiri.

“Tetapi pada masa sama, saya berasa sangat rindukan Malaysia terutamanya Laksa Sarawak,” ujar Alvin.

Ekoran pandemik Covid-19 yang sedang melanda dunia sekarang, Alvin yang kini menetap di Los Angeles banyak bekerja dari rumah, namun situasi tersebut idak menghalang dirinya untuk terus berkarya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI