fbpx

Kadzim M. Yahya dilantik Yang di-Pertua DUN Sabah baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kadzim antara 28 individu yang mengangkat sumpah bagi beberapa jawatan Kabinet di Istana Negeri hari ini.

Oleh IVAN AMIRUL

KOTA KINABALU – Datuk Kadzim M. Yahya kini dilantik sebagai Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah baharu menggantikan Datuk Syed Abas Syed Ali.

Beliau adalah antara 28 individu yang mengangkat sumpah bagi beberapa jawatan Kabinet termasuklah menteri, pembantu menteri serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah dilantik di Istana Negeri hari ini.

Majlis berkenaan berlangsung di hadapan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dalam suatu majlis pada pukul 10 pagi tadi.

Antara ahli jemaah menteri yang dilantik termasuklah Datuk Aripin Mohd. Arif sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Jafry Ariffin (Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah) dan Ir. Shahelmy Yahya (Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah).

Selain itu, turut mengangkat sumpah Datuk Yakubah Khan selaku Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah manakala Datuk Ellron Angin memegang portfolio Menteri Belia dan Sukan Sabah.

Dalam pada itu, antara pembantu menteri yang mengangkat sumpah hari ini adalah Datuk Abidin Madingkir dan Datuk Wetrom Bahanda untuk jawatan Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan dan Jasni Daya (Pembantu Menteri Kewangan), Datuk Limus Jury dan Robert Tawik @ Nordin (Pembantu Menteri Kerja Raya) serta Datuk James Ratib dan Hendrus Anding (Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan).

Sementara itu, menerusi majlis sama turut diserahkan Watikah ADUN Sabah Dilantik kepada empat individu iaitu Suhaimi Nasir, Raimie Unggi, Jaffari Walliam dan Dr Aliakbar Gulasan.

Bagaimanapun, upacara mengangkat sumpah berkenaan dimaklumkan dilaksanakan secara sederhana tanpa melibatkan kehadiran tetamu undangan berikutan penularan wabak Covid-19 di Sabah.

Dengan pelantikan Kabinet Negeri hari ini, pentadbiran kerajaan negeri Sabah yang baharu di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor kini lengkap.

Terdahulu, Hajiji mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri Sabah diikuti barisan timbalan-timbalan ketua menteri dan menteri-menteri kanan pada 29 September lalu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI