fbpx

Guru tadika rugi RM31,385 ditipu ‘pegawai bank’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Oleh MOHD. RIFAAT ABD. HAMID

ALOR SETAR – Seorang guru tadika berusia 52 tahun mengalami kerugian sebanyak RM31,385 selepas diperdaya seorang individu menyamar pegawai bank yang menawarkan pinjaman wang dengan kadar faedah rendah pada 14 September lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kedah, Superintendan Elias Omar memberitahu, mangsa yang telah berkahwin dan berasal dari Alor Setar berhubung dengan suspek menerusi aplikasi WhatsApp.

“Suspek memperkenalkan dirinya sebagai Nelson Chin Wen Wei iaitu pegawai tertinggi di RHB Bank cawangan Kuala Lumpur.

“Dia kemudian menawarkan pinjaman wang dengan kadar faedah rendah yang sebenarnya tidak wujud kepada wanita terbabit,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, mangsa yang terdesak mahu mendapatkan pinjaman wang bersetuju untuk meminjam sebanyak RM250,000 dan suspek seterusnya menjanjikan kadar faedah serta bayaran balik pinjaman yang rendah.

“Selepas berjaya mendapatkan kepercayaan mangsa untuk membuat pinjaman, suspek meminta mangsa untuk membuat pelbagai bayaran seperti bayaran insurans, buka fail, bayaran percubaan pinjaman dan bayaran sistem pinjaman.

“Atas dasar percaya, mangsa telah membuat pemindahan wang secara atas talian ke dalam tiga akaun bank yang diberikan suspek pada bulan lalu,” ujarnya.

Menurut Elias, jumlah keseluruhan pemindahan wang yang dibuat oleh mangsa berjumlah RM31,385.

“Mangsa terpaksa membuat pinjaman wang daripada ahli keluarga bagi menyerahkan wang kepada suspek,” katanya.

Tambahnya, mangsa disedari ditipu apabila suspek memintanya membuat beberapa pembayaran lagi selain perlu membayar sejumlah wang jika mahu membatalkan permohonan pinjaman berkenaan.

“Mangsa kemudian membuat laporan polis di Sungai Petani pada Ahad lalu dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI