fbpx

Dari Tanah Suci kini jadi pengedar utama mesin sanitasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Mekah dan Madinah dianggap sebagai ‘rumah kedua’ bagi Md. Roslan Mohammad Jaafar kerana beliau sering berkunjung ke tempat suci itu atas urusan kerja.

Beliau, 58, sebelum ini bertugas sebagai Pegawai Tempahan Haji dan Umrah di Tabung Haji Travel sejak tahun 1988 hingga 2007.

Pelbagai pengalaman pahit manis yang dialaminya di sana dan beliau dianggap sebagai pakar rujuk bagi jemaah tempatan untuk melancarkan lagi urusan mereka di Tanah Suci ketika mengerjakan haji dan umrah.

Rezeki anak kelahiran Melaka ini telah diperluaskan lagi apabila Md. Roslan berhijrah ke sebuah agensi pelancongan dan pengendalian umrah dan haji swasta, Juara Travel & Tours Sdn. Bhd. (Juara).

“Namun siapa sangka pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak awal tahun ini memberi kesan kepada semua masyarakat termasuk kami yang terlibat dalam industri pengendalian haji dan umrah,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kota Damansara di sini baru-baru ini.

Md. Roslan tidak terkecuali dengan impak mengejut itu tetapi pada peringkat awal, beliau mula menyusun strategi untuk memberi tumpuan terhadap cabang perniagaan berpotensi lain secara berperingkat-peringkat.

Perhubungan erat dan rangkaian komunikasinya yang baik dengan beberapa usahawan di Timur Tengah khususnya pelajar Malaysia yang menginap di sana telah membolehkan beliau menceburi bidang jualan buah tamar berkualiti tinggi secara online sepanjang bulan Ramadan lalu.

“Permintaan meningkat khususnya daripada kenalan dan pengikut saya di media sosial membolehkan saya menjual le­bih daripada 200 kilogram kurma terbaik dari Arab Saudi.

“Lebih menarik, saya menggunakan khidmat mutawif dari Juara yang kini terpaksa ­menganggur menjadi ejen jualan untuk mengedarkan kurma kepada pelanggan,” jelasnya.

 

Tambah beliau, cabang perniagaan diperluaskan pula dengan pengedaran Pes Nasi Arab Kabsa dan Mendhi serta Kambing Perap Muzdalifah yang dihasilkan oleh beberapa bekas pelajar Malaysia yang sebelum ini menetap di Arab Saudi.

Turut dipromosikan adalah produk penjagaan kesihatan berasaskan habbatus sauda yang dihasilkan usahawan tempatan.

Ternyata, usaha Md. Roslan itu berjaya meraih pendapatan yang baik untuk membiayai perbelanjaan bulanan keluarga.

“Saya berpegang kepada konsep, apa yang boleh dijual, saya akan jual.

“Meskipun pendapatan sekarang tidak semewah tahun sebelum ini, tetapi ia cukup memberi ke­puasan kepada saya kerana berjaya membantu mutawif yang menganggur meraih pendapatan bersama,” ujarnya.

Tambah beliau yang kini memiliki syarikatnya sendiri, Maju As Safa Group Sdn. Bhd. turut bijak mengambil peluang daripada pandemik Covid-19 dengan menawarkan perkhidmatan sanitasi yang lengkap dengan mesin semburan di rumah kediaman pelanggan di masjid dan surau.

Syarikat juga menjadi pengedar bagi set lengkap mesin semburan nyahkuman dan sanitasi, keluaran syarikat tempatan pada harga serendah RM600 seunit.

“Dalam tempoh dua bulan, kami telah berjaya menjual kira-kira 30 mesin semburan nyahkuman kepada pelanggan.

“Kini, permintaan tersebut semakin bertambah ekoran masyarakat semakin peka tentang penjagaan kesihatan dan kebersihan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI