fbpx

Mat motor tutup jalan dikompaun RM167, 000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hasan menunjukkan sebahagian motosikal yang disita dalam Op Samseng Jalanan yang dijalankan di Lebuh AMJ Kandang di sini malam tadi.

Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA

MELAKA – Tindakan berani “mat motor” menutup laluan jalan raya utama untuk dijadikan litar lumba haram di Kandang dekat sini membawa padah apabila kesemua mereka dikenakan kompaun berjumlah RM167, 000, malam tadi.

Kompaun tersebut dikeluarkan oleh polis trafik negeri atas kesalahan mengingakari arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dalam Op Samseng Jalanan yang dijalankan di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) Kandang.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Hasan Basri, dalam operasi berlangsung selama tiga jam berakhir pukul 2.30 pagi itu, kesemua yang ditahan berusia dari 15 tahun sehingga 20-an.

“Kesemua 167 penunggang ditahan ketika sedang berkumpul bagi menyaksikan aktiviti haram motosikal yang dipercayai dianjurkan pada setiap malam Sabtu.

“Mereka ini berkumpul dan sengaja menyusun motosikal di persimpangan lampu isyarat Kandang bagi menyediakan laluan untuk membolehkan beberapa motosikal membuat aksi pusingan dalam bulatan,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di sini, tadi.

Katanya, selain mengeluarkan sebanyak 679 saman, pihaknya turut mengenakan kompaun sebanyak RM1, 000 kepada setiap penunggang yang ditahan kerana ingkar arahan PKPP.

Jelasnya, daripada 167 yang ditahan seramai 75 penunggang juga didapati adalah pelajar sekolah termasuk pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT).

“Daripada jumlah itu tujuh penunggang akan direman mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan seorang dibawah Seksyen 108 akta sama kerana menggunakan nombor plat palsu.

“Manakala semakan turut mendapati seramai 14 penunggang yang ditahan juga mempunyai lebih daripada dua waran selain 64 buah motosikal disita,” katanya.

Mengulas lanjut, Hasan Basri memberitahu, ketika operasi dijalankan, kira-kira 100 penunggang bertindak melarikan diri, bagaimanapun gagal selepas motosikal tersadai di dalam sawah berdekatan.

“Mereka sangkakan itu laluan tikus, namun beberapa anggota kita telah bersiap sedia menahan mereka di kawasan sawah dan akhirnya motosikal ditunggangi tersadai selepas tersangkut di dalam tanah berselut.

“Sebanyak 10 penunggang berjaya melarikan diri selepas meninggalkan motosikal masing-masing di dalam sawah dan kesemua kenderaan ini telah dibawa ke IPD untuk tindakan lanjut,” katanya.

Jelasnya, penunggang yang tidak mempunyai lesen hanya akan dibebaskan selepas ibu bapa atau penjaga datang dan saman akan dikeluarkan kepada mereka.

Tambahnya, antara kesalahan lain yang dilakukan adalah ubah suai, tiada cermin sisi dan nombor plat tidak mengikut spesifikasi.

“Seorang pekerja kilang pula dikenakan sebanyak 18 saman atas pelbagai kesalahan dan dia mendakwa hanya datang ke lokasi untuk menyaksikan perlumbaan,” katanya. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI