fbpx

USIM tangguh pendaftaran pelajar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
USIM Kampus Nilai

Oleh ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI

SEREMBAN – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menangguhkan pendaftaran secara bersemuka bagi pelajar baharu sesi akademik 2020/2021 dan pelajar sedia ada ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Naib Canselornya, Prof. Dr. Mohamed Ridza Wahiddin berkata, proses pendaftaran bagi pelajar berkenaan akan dilakukan secara dalam talian.

“Mengambil kira situasi terkini kes positif Covid-19 yang meningkat, USIM memutuskan supaya pendaftaran secara bersemuka atau fizikal bagi pelajar (baharu dan lama) ditangguhkan.

“Bagi sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) bagi pelajar baharu dan pelajar sedia ada akan dilaksanakan secara dalam talian sehingga ke tarikh yang akan dimaklumkan kelak,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kementerian Pengajian Tinggi semalam mencadangkan semua institusi pengajian tinggi (IPT) menangguhkan terlebih dahulu pendaftaran bersemuka pelajar baharu dan lama ke kampus yang dijadual bermula bulan ini.

Menterinya, Datuk Dr. Noraini Ahmad turut mencadangkan penangguhan sama membabitkan pelajar dari kawasan yang dikelaskan sebagai zon merah jangkitan Covid-19.

Dalam pada itu, jelas Mohamed Ridza, bagi pelajar yang berada di kampus semasa notis ini dikeluarkan mereka boleh kekal berada di kampus atau kolej kediaman masing-masing sehingga pemakluman baharu dikeluarkan bagi mengelak penularan wabak Covid-19 berlaku.

“Pendaftaran pelajar baharu sesi akademik 2020/2021 bagi semua peringkat pengajian akan dilaksanakan secara 100 peratus dalam talian.

“Malah, sebarang program atau aktiviti yang melibatkan himpunan di dalam kampus adalah ditangguhkan sehingga ke tarikh yang akan dimaklumkan kelak,” katanya.

Justeru, beliau turut menasihatkan semua warga USIM khususnya kepada pelajar untuk mengambil perhatian terhadap notis yang telah dikeluarkan dan membuat persiapan yang sewajarnya bagi sesi pengajaran dan pembelajaran.

“Warga USIM juga dinasihatkan untuk memastikan segala prosedur operasi standard (SOP) berkaitan dengan pencegahan penularan wabak Covid-19 dapat dipatuhi,” katanya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI