TUBUHNYA hanya seberat 1,230 gram dengan panjang 70 sentimeter, namun sumbangan mamalia kecil itu sangat besar kepada masyarakat di Kemboja.
Tikus gergasi Afrika bernama Magawa itu telah berjaya menyelamatkan ribuan nyawa penduduk daripada periuk api dan bom.
Tugas Magawa adalah membantu mengesan periuk api dan bom lama yang masih aktif di sebuah kawasan di Kemboja sebelum dilupuskan oleh pihak berkuasa.
Kebolehan dan kecekapan haiwan berasal dari Tanzania itu telah mendapat pengiktirafan dari sebuah badan amal veterinar Britain, People’s Dispensary for Sick Animals (PDSA) baru-baru ini.
Magawa menjadi tikus pertama dianugerahkan Pingat Emas PDSA (PDSA Gold Medal) sekali gus meletakkan haiwan tersebut sebaris dengan anjing, kuda, burung merpati dan kucing lain yang berani.
Pingat Emas PDSA merupakan penghormatan tertinggi badan amal tersebut yang setara dengan pingat George Cross.
Pingat George Cross adalah penghargaan yang diberikan kepada orang awam atau tentera Britain yang melakukan sesuatu tindakan berani dan berbahaya dalam satu-satu situasi.
“Magawa boleh dianggap wira. Kami sangat gembira untuk meraikan dan menghargai sumbangan Magawa menyelamatkan nyawa dengan menganugerahkan tikus itu Pingat Emas PDSA ini,” kata Ketua Pengarah PDSA, Jan McLouglin kepada beberapa agensi media antarabangsa baru-baru ini.

Pingat Emas PDSA mula diberikan pada tahun 2002 bagi menghargai jasa haiwan yang melaksanakan tugas luar biasa menyelamatkan nyawa manusia. Magawa adalah penerima Pingat Emas PDSA ke-30.
Pengurus Anugerah dan Warisan PDSA, Amy Dickin memberitahu, semua orang sangat teruja melihat seekor tikus gergasi Afrika menerima Pingat Emas PDSA.
“Disebabkan pandemik Covid-19 di Britain dan dunia ketika ini, majlis penyerahan anugerah ini tidak dapat dilakukan seperti dirancang.
“Jadi, Magawa juga merupakan haiwan pertama yang diberi pingat PDSA secara online. Kami sangat gembira dapat menghargai jasa haiwan hebat ini,” ujar Dickin.
Berkhidmat di Kemboja sejak lima tahun lalu, Magawa telah berjaya mengesan 39 periuk api dan 28 bahan peledak yang tidak meletup di kawasan seluas 141,000 meter persegi.
Dianggarkan empat hingga enam juta periuk api tertanam di Kemboja sejak tahun 1970-an dengan sekurang-kurangnya tiga juta masih gagal dikesan.
Konflik selama bertahun-tahun telah menyebabkan negara Asia Tenggara itu dipenuhi dengan periuk api dan bom yang belum atau tidak meletup.
Amerika Syarikat (AS) memaklumkan, pihaknya telah menjatuhkan 2.7 juta tan bahan letupan termasuk bom kluster dalam kempen pengebomannya di Kemboja sebelum ini pada sekitar 1970-an.
Menurut laporan tahun lalu yang dikeluarkan oleh Perkhidmatan Penyelidikan Kongres AS, satu perempat bom yang dilepaskan dalam kempen berkenaan gagal meletup.
“Ini bermaksud bom berkenaan tetap aktif dan berbahaya meskipun tidak kelihatan akibat tertimbus oleh tanah,” ujar kenyataan berkenaan.

Kemudian, selepas kejatuhan Khmer Rouge pada tahun 1979, berlaku perang saudara dan pencerobohan Vietnam di Kemboja yang menyaksikan banyak periuk api ditanam di negara berkenaan.
Lembaga Tindakan Periuk Api dan Bantuan Korban Kemboja melaporkan, sejak 1979, negara tersebut mencatatkan 64,840 korban serta 40,000 kehilangan anggota badan disebabkan periuk api dan bom yang tidak meletup.
Justeru, Kemboja dengan bantuan beberapa negara lain telah menghabiskan masa bertahun-tahun membersihkan bahan letupan tersebut.
Salah satu badan bukan kerajaan (NGO) yang turut menghulurkan bantuan adalah APOPO iaitu sebuah organisasi yang ditubuhkan di Belgium dan beribu pejabat di Tanzania.
APOPO merupakan organisasi bertanggungjawab melatih tikus-tikus seperti Magawa mengesan periuk api di beberapa buah negara seperti Kemboja, Angola, Zimbabwe dan Mozambique.
Ketua Pegawai Eksekutif APOPO, Christope Cox memaklumkan, Magawa yang dibawa ke Kemboja mampu mengesan periuk api dan bom yang lama menggunakan hidung.
Katanya, Magawa memiliki deria bau lebih kuat berbanding manusia sekali gus membolehkannya mengesan aroma bahan kimia yang digunakan bagi membuat periuk api dan bom.
“Setelah berjaya mengesan kehadiran bahan kimia, Magawa akan memberi isyarat lokasi yang tepat kepada pengendali bagi melupuskan bom dengan selamat.
“Magawa berkebolehan mengesan periuk api aktif dengan cepat meskipun terdapat ratusan periuk api tidak aktif di sekelilingnya,” katanya.
Magawa dan beberapa ekor tikus lagi telah dilatih sejak usia muda bagi mengesan periuk api. Tikus berusia enam tahun itu telah lulus semua ujiannya dengan cemerlang sebelum dihantar berkhidmat di Kemboja. Di Kemboja, tikus itu dijaga oleh pegawai APOPO.
Terang Cox lagi, Magawa dapat mengesan periuk api di kawasan seluas gelanggang tenis dalam tempoh hanya 30 minit.

Tegasnya, masa yang diambil itu jauh lebih pantas berbanding menggunakan alat pengesan khas yang memerlukan masa selama empat hari.
“Kami menggunakan kaedah latihan clicker bagi mengajar tikus seperti Magawa mengesan periuk api di atas tanah.
“Semasa latihan, tikus-tikus ini akan mendengar bunyi ‘klik’ dan menerima ganjaran makanan enak selepas berjaya mengesan sasaran aroma dengan tepat,” ujar Cox.
Setiap periuk api atau bahan letupan yang ditemui Magawa telah membantu mengurangkan risiko kematian dan kecederaan kepada masyarakat setempat.
Walaupun periuk api mampu memberi kesan buruk kepada manusia, namun ia tidak berisiko buat Magawa. Ini disebabkan berat tikus berkenaan tidak mampu mengaktifkan periuk api.
Magawa telah menyelamat dan mengubah kehidupan lelaki, wanita dan kanak-kanak di Kemboja yang diancam periuk api.
Magawa akan terus berkhidmat di negara tersebut untuk beberapa tahun lagi sebelum bersara dan menghabiskan masa bermain di dalam sangkar.














