fbpx

Siti Sarah, Shuib dipanggil SPRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shuib dan Siti Sarah.

KUALA LUMPUR – Wakil syarikat pengurusan Siti Sarah, Indigital Music enggan mengulas lanjut apabila artis naungan mereka itu dikaitkan dengan siasatan pengubahan wang haram berhubung perniagaan minuman selepas dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Pengarah Urusan Indigital, Nana Mohd. Rom berkata, setakat ini dia tidak boleh memberi komen lanjut bagi pihak Sarah kerana kes masih dalam siasatan SPRM.

“Maaf, saya tidak boleh komen apa-apa. Saya mohon jasa baik pihak media untuk memberi ruang kepada Sarah dan suami berdepan dengan situasi ini.

“Bagaimanapun, apa yang saya tahu, kedua-duanya telah memberi kerjasama kepada pihak berkuasa. Sekiranya terdapat perkembangan, kami akan maklumkan kemudian,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.

SARAH dan Shuib turut disahkan hadir ke pejabat SPRM oleh Pengurus Indigital Music, Nana Mohd. Rom.

Difahamkan, pasangan selebriti itu telah hadir ke pejabat SPRM pada pukul 8 pagi hari ini bagi memberi keterangan berhubung siasatan kes tersebut.

Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki mengesahkan pasangan suami isteri yang juga pasangan selebriti dipanggil pihaknya bagi membantu siasatan kes penggubahan wang haram.

Memetik laporan Utusan Malaysia, siasatan masih dijalankan namun penglibatan pasangan selebriti tersebut tidak dapat dipastikan.

Menurut sumber, selain Shuib dan Sarah, beberapa individu termasuk selebriti lain yang mempunyai kaitan dengan kes terbabit mungkin akan dipanggil.

“Masih tidak dapat pastikan sama ada mereka akan ditahan atau pun tidak memandangkan proses merakam keterangan masih berjalan,” kata sumber tersebut.

Terdahulu, Shuib telah membuka sebanyak lapan buah cawangan kedai minuman boba berasaskan madu, Bubble Bee sejak Jun lalu.

Antara lokasi kedai minuman terkenal itu ialah di The Strand, Kota Damansara dan Mydin, USJ.

Malahan, Shuib juga pernah mencetuskan kontroversi pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana meminta kerajaan menyalurkan bantuan kepada golongan artis yang terkesan akibat wabak Covid-19. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI