fbpx

Khidmat ditamat secara tidak sah, Apandi Ali serah surat tuntutan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tan Sri Mohamed Apandi Ali

KUALA LUMPUR – Bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengemukakan surat tuntutan kepada Pejabat Peguam Negara bagi menuntut ganti rugi daripada kerajaan kerana perkhidmatannya telah ditamatkan secara tidak sah oleh kerajaan Pakatan Harapan dua tahun lalu.

Mohamed Apandi memfailkan surat tuntutan itu melalui firma guaman Tetuan Shukor Baljit & Partners semalam dengan menyatakan bahawa pemecatannya itu adalah terbatal dan tidak sah.

Dalam tuntutan itu menyatakan, surat daripada Ketua Setiausaha Negara (KSN) menyebut bahawa Yang di-Pertuan Agong bersetuju dengan penamatan khidmat Mohamed Apandi, bagaimanapun beliau tidak dikemukakan dengan sebarang dokumen yang membuktikan terdapat persetujuan itu.

Ia juga menyebut bahawa tindakan penamatan khidmat itu diatur dan diputuskan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamed yang menjalankan kuasa pemberhentian secara tidak sah.

“Kami mendapat arahan daripada anak guam bahawa perdana menteri ketika itu menyalahgunakan kedudukan selaku pegawai awam dan melakukan salah guna di pejabat awam.

“Perdana Menteri ketika itu juga ketika melakukan tindakan terbabit, menyedari serta berniat untuk menyebabkan pelanggaran kontrak di antara kerajaan dan anak guam kami selain tindak tanduk perdana menteri terbabit juga adalah menggunakan kuasa yang tidak sah di sebalik kedudukannya,” kata surat tuntutan itu.

Selain itu Mohamed Apandi mendakwa berikutan penamatan khidmatnya melalui surat bertarikh 5 Jun 2018 oleh KSN, telah menyebabkannya mengalami kehilangan dan kerugian antaranya pendapatan, elaun dan faedah-faedah lain.

Justeru, Mohamed Apandi tiada pilihan lain selain meneruskan dengan tindakan undang-undang bagi menuntut ganti rugi termasuk ganti rugi teladan sekiranya tidak menerima sebarang tawaran pemulihan atau ganti rugi daripada kerajaan dalam tempoh tujuh hari bermula semalam.

Ia menyatakan bahawa perkhidmatan Mohamed Apandi daripada 27 Julai 2015 sehingga 26 Julai 2018 hanya boleh ditamatkan melalui peruntukan Artikel 145 (5) Perlembagaan Persekutuan.

Peruntukan itu menyatakan, tertakluk kepada Fasal (6), Peguam Negara hendaklah memegang jawatan selama diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong dan boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya dan, melainkan jika beliau ialah anggota Jemaah Menteri, hendaklah menerima apa-apa saraan yang ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI