fbpx

FGV nafi dakwaan guna buruh paksa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – FGV Holdings Bhd. (FGV) menafikan dakwaan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) syarikat itu menggunakan buruh paksa.

Sehubungan itu, FGV dalam satu kenyataan menyatakan rasa kecewa terhadap tindakan CBP AS menahan minyak sawit dan produk komoditi yang dihasilkan oleh FGV.

“FGV menegaskan semua isu dibangkitkan itu menjadi topik wacana umum sejak tahun 2015 dan FGV telah mengambil beberapa langkah memperbaiki keadaan.

“FGV kecewa dengan larangan itu kerana telah mengambil langkah konkrit menangani masalah hak asasi manusia dan menegakkan piawaian hak pekerja.

“Usaha FGV malah didokumentasi dengan baik dan tersedia di ruang awam,” kata kenyataan itu hari ini.

Menurut FGV, semua pekerja asingnya terutama dari India dan Indonesia diambil bekerja menggunakan saluran undang-undang.

Kata FGV, pusat sehenti turut didirikan di negara asal pekerja untuk memberitahu tentang pekerjaan, ruang lingkup pekerjaan dan hak mereka .

Jelas FGV, syarikat itu mempunyai seramai 11,286 pekerja Indonesia dan 4,683 pekerja sehingga Ogos lalu dan syarikat itu tidak mengambil pekerja kontrak kerana semua pekerja digajikan secara langsung oleh FGV.

Kata FGV lagi, syarikat itu tidak menyimpan pengenalan diri pekerja sebaliknya memasang 32, 250 peti keselamatan sebagai pilihan kepada pekerja asing menyimpan pasport mereka dengan selamat.

Tambah FGV, syarikat itu malah telah melabur sebanyak RM350 juta untuk meningkatkan kemudahan perumahan bagi pekerjanya.

FGV turut menegaskan syarikat itu mempunyai kod etika pembekal untuk memastikan piawaian hak tenaga kerja, kesihatan, keselamatan, kelestarian dan etika perniagaan diamalkan di seluruh rantaian bekalan.

“Perlu diulangi FGV tidak bertolak ansur dengan sebarang bentuk pelanggaran hak asasi manusia atau kesalahan jenayah dalam operasinya.

“FGV telah berkomunikasi dengan CBP AS sejak Ogos tahun lalu dan telah mengemukakan bukti FGV patuh melindungi piawaian hak pekerja,” kata kenyataan itu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI