fbpx

[VIDEO] Lelaki pakai pelitup muka gagal samun wang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Oleh ASLIZA MUSA

BATU GAJAH – Dua pekerja sebuah syarikat kawalan keselamatan berdepan detik-detik cemas apabila diacukan dengan objek menyerupai pistol dalam cubaan samun di sebuah bank di sini hari ini.

Kejadian pada pukul 3.40 petang itu berlaku di kaki lima bank tersebut selepas dua pekerja terlibat selesai mengutip wang di mesin juruwang automatik (ATM) dan mesin deposit tunai (CDM) bank berkenaan.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, ketika kejadian, mangsa yang merupakan juruteknik syarikat tersebut diiringi rakan sekerjanya untuk memasukkan wang yang diambil ke dalam van yang berada di luar premis itu.

Katanya, mereka bagaimanapun dikejutkan dengan jeritan seorang lelaki memakai pelitup muka dari arah belakang van berkenaan sambil mengacukan objek menyerupai pistol.

“Suspek mengacukan senjata tersebut ke arah mangsa dan rakan sekerjanya yang merupakan pengawal keselamatan bersenjatakan pump gun sambil menjerit mahukan wang.

“Mangsa bagaimanapun berjaya menyelamatkan kesemua wang tersebut dengan memasuki van ketika suspek sedang menolak rakannya ke arah pintu bank,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, selepas mangsa berjaya melarikan diri masuk ke dalam van bersama beg yang mengandungi wang, suspek yang panik terus melarikan diri ke arah belakang bank.

Katanya, kedua-dua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan tiada kerugian dilaporkan dalam kejadian itu.

“Usaha mengesan suspek sedang dijalankan dan rakaman televisyen litar tertutup sekitar tempat kejadian juga sedang diteliti. Kita turut mengesan saksi bebas untuk membantu siasatan,” katanya.

Tambah beliau, semasa kejadian, mangsa baru sahaja memungut wang berjumlah RM200,000 dari mesin ATM dan CDM bank tersebut.

“Jumlah keseluruhan wang di dalam van itu tidak pasti kerana sebelum sampai ke lokasi terakhir iaitu lokasi kejadian, mangsa telah memasukkan dan memungut wang di enam lokasi lain di Ipoh.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian dan suspek diminta tampil ke balai polis berhampiran atau hubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Gajah di talian 05-3629222,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI