fbpx
AKTIVITI memikat burung wak-wak hanya dilakukan pada tengah malam yang mana bagi sesetengah orang adalah masa yang begitu menyeramkan kerana suasana sunyi. –Gambar hiasan

Disapa nenek misteri ketika memikat burung wak-wak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBAIK tiba di kawasan lapang di sebuah kebun tanpa melengahkan masa, tiga orang sahabat itu memacak dua batang buluh yang dibawa mereka.

Di bahagian tengah antara kedua-dua buluh tersebut itu direntangkan dengan jaring pada bahagian atas.

Tujuan mereka berbuat demikian adalah satu iaitu untuk memikat dan menangkap burung wak-wak atau ruak-ruak.

Setelah buluh dan jaring itu siap dipasang mereka kemudian pulang ke rumah masing-masing sebelum datang pula pada sebelah malam.

Memikat burung wak-wak adalah aktiviti yang sering dilakukan tiga orang sahabat itu yang tinggal di sebuah negeri utara Semenanjung.

“Selalunya kami akan memasang jaring pada sebelah petang dan datang semula ke kawasan ini pada pukul 12 tengah malam.

“Untuk memikat burung wak-wak ini, ia dilakukan pada sebelah malam dengan cara mendekut menggunakan serunai,” kata individu yang dikenali sebagai Halim.

Mereka mengakui itu bukanlah kali pertama memikat burung wak-wak dan aktiviti tersebut telah dilakukan sejak beberapa tahun lalu.

Halim menjelaskan, dia belajar memikat burung wak-wak itu daripada arwah datuknya.

Datuknya juga mengajarkan kepadanya cara menggunakan serunai untuk menyeru burung tersebut datang.

Selain itu, mereka juga menggunakan pembesar suara yang mempunyai rakaman bunyi serunai untuk memanggil burung tersebut.

Bercerita lanjut, dia berkata, sepanjang terlibat dengan aktiviti itu, pelbagai peristiwa mistik diceritakan orang, selain mengalami sendiri kejadian menyeramkan.

Banyak versi cerita didengarinya tentang burung tersebut.

 

PEMILIHAN lokasi untuk memikat wak-wak penting kerana dikhuatiri diganggu makhluk halus. –Gambar hiasan

 

Ada yang mengatakan burung itu dijaga dan dimiliki oleh makhluk halus. Mereka yang ingin memikat burung tersebut dikatakan akan diganggu dengan perkara mistik.

Selain itu, ada juga yang mengatakan jika pemilihan kawasan untuk memikat burung tersebut tidak betul, mereka juga akan diganggu makhluk halus.

Halim menjelaskan, antara gangguan yang sering mereka alami adalah situasi yang mana kedengaran jaring dilanggar sekawan burung.

“Sebaik serunai dimainkan, kedengaran ada benda sedang berterbangan di udara dan melanggar jaring yang kami pasang.

“Kami sangkakan burung-burung tersebut melanggarnya. Tetapi apabila kami pergi untuk melihatnya, jaring itu masih kosong,” katanya.

Alah bisa tegal biasa. Itulah situasi yang sering dihadapinya ketika memikat burung wak-wak. Biarpun kadang-kadang meremang bulu roma berhadapan dengan situasi itu memandangkan ia berlaku pada waktu malam, dia dan rakan-rakan hanya mendiamkan diri.

Katanya, kejadian menyeramkan yang tidak boleh dilupakan adalah rakannya disapa wanita tua ketika memikat burung tersebut pada satu malam beberpa tahun lalu.

“Rakan saya ketika itu berseorangan kerana saya dan seorang lagi rakan pergi melihat jaring yang dipasang.

“Dia didampingi seorang nenek yang tidak jelas wajahnya kerana dilindungi kegelapan malam. Wanita itu berkata kami tidak akan mendapat hasil di kawasan itu dan sebaiknya berpindah ke tempat lain,” katanya.

 

ADA orang mengatakan burung wak-wak dijaga dan dimiliki makhluk halus. –Gambar hiasan

 

Jelasnya, pucat lesi muka rakannya yang ditegur itu dan mereka mengambil keputusan untuk pulang ke rumah kerana bimbang sesuatu yang tidak diingini berlaku jika terus berada di kawasan itu .

Pada waktu itu, Halim teringat nasihat arwah datuknya jika ditegur sesuatu, elok pulang sahaja.

Itu tandanya, tempat mereka memikat burung tersebut adalah kawasan makhluk halus.

Kejadian mistik lain yang pernah mereka alami adalah mendengar suara berbunyi sayu berhampiran tempat mereka memikat burung.

Semua kejadian menyeramkan itu tidak pernah mematahkan semangat mereka untuk terus melakukan aktiviti yang diminati itu.

BERITA BERKAITAN