fbpx

Inspektor polis terima rasuah RM3,000 didenda RM6,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sahrol Zaman Mohd Adom di bawa keluar dari Mahkamah Sesyen Ipoh selepas mengaku bersalah atas tuduhan menerima rasuah sebanyak RM3,000 enam tahun lalu. Foto- ZULFACHRI ZULKIFLI

Oleh ASLIZA MUSA

IPOH – Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor didenda RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM3,000 enam tahun lalu.

Sahrol Zaman Mohd. Adom, 38, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim S. Indra Nehru.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara empat bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menerima wang RM3,000 daripada Choong Kian Weng melalui mesin deposit wang di Maybank Cawangan Silibin di sini, pada pukul 12.01 tengah hari, 14 Mei 2014.

Suapan tersebut didakwa ada kena mengena dengan urusan rasmi tertuduh sebagai pegawai penyiasat yang bertanggungjawab menyiasat Kian Weng dan wanita warga China, Wu Jing yang disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Pada prosiding sama, Hakim Indra Nehru melepaskan dan membebaskan bapa kepada kembar perempuan berusia 12 tahun itu bagi tiga pertuduhan rasuah lain yang dihadapinya.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menerima wang RM1,000 daripada Kian Weng yang diketahui ada kena mengena dengan urusan rasminya sebagai pegawai penyiasat yang bertanggungjawab menyiasat lelaki itu dan rakan wanitanya bagi kesalahan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Tertuduh juga didakwa menerima wang RM500 daripada lelaki lain, Choong Chee Kawong sebagai dorongan untuk melepaskan Kian Weng yang terbabit dalam siasatan di bawah seksyen tersebut.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh pada pukul 2.10 petang dan 5 petang, 8 Mei 2014.

Bagi pertuduhan ketiga, Sahrol Zaman didakwa telah menerima wang RM1,500 daripada Kian Weng melalui pindahan wang telegrafik ke akaun miliknya di Maybank cawangan Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada pukul 6.49 petang, 8 Mei 2014.

Keempat-empat pertuduhan terhadapnya dijalankan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurul Wahida Jalaluddin manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Sharullah Khan Nawab Zadah Khan.

Hakim Indra Nehru turut membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk melucut wang RM6,000 milik tertuduh kepada kerajaan dan semua barang kes dikembalikan kepada pihak pendakwaan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI