fbpx

Melankolia dalam senyuman, masyhur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lady Gaga memberi naratif kesihatan mental dalam muzik video single terbaharunya, 911.
MOHD. HAIKAL ISA, WARTAWAN EKSEKUTIF

“My biggest enemy is me, pop a 911,” demikian antara nukilan lirik yang dizahirkan penya­nyi pop ternama dunia, Lady Gaga menerusi karya terbaharu nyanyiannya berjudul 911 yang sedikit sebanyak berkisarkan tentang kesihatan mental.

Gaga atau nama sebenar, Stefani Joanne Angelina Germanotta, 34, memaklumkan kepada Apple Music sekitar Mei tahun ini bahawa lagu tersebut bertitik tolak daripada pengambilan ubat-ubatan antipsychotics atau neuroleptics yang diamalkannya.

“Saya tak boleh mengawal perkara-perkara yang otak saya fikirkan. Saya terpaksa mengambil ubat-ubatan untuk menghentikan proses tersebut daripada terus berlaku,” kata Gaga.

Apa yang diperkatakan pelantun lagu Bad Romance itu membuktikan tiada manusia di dunia ini yang tidak mengalami masalah yang boleh menyebabkan penyakit mental.

Waima anda seorang bintang pop sekalipun yang hidup bertatahkan emas dengan harta bertimbun-tumbun, penyakit berkaitan mental boleh datang ‘merenjat’ bila-bila masa.

Penulis berpendapat, ‘with great power comes great responsibility’. Ia tidak bermakna seseorang itu berpangkat besar atau hidup dalam kemasyhuran, dia akan hidup senang dan bahagia.

Seseorang itu mungkin dilihat sebagai hero di mata masyarakat, namun siapa tahu, dia kesepian dan barangkali rasa sepi itu tempatnya ‘berteman’.

Berbalik soal situasi Gaga, dia pernah mendedahkan dalam satu temu bual bersama Oprah Winfrey bahawa dirinya pernah menderita masalah tekanan pascatrauma dan penyakit fibromyalgia iaitu gangguan dicirikan oleh kesakitan pada otot yang disertai keletihan, gangguan tidur, ingatan dan emosi.

Kebanyakan orang tidak sedar yang mereka sedang menderita masalah mental kerana penyakit itu bukan sesuatu yang meninggalkan kesan lebam atau luka yang boleh disedari.

Natijahnya, ramai bintang ter­nama dunia ‘gugur’ secara me­ngejut sehingga sanggup me­ra­gut nyawa sendiri kerana sudah tidak sanggup lagi ‘berperang’ dengan masalah yang dihadapi.

Terbaharu, aktres popular Jepun, Sei Ashina, 36, ditemui mati dipercayai membunuh diri di apartmennya di Tokyo. Mengikut laporan portal Variety.com, mayat pelakon drama bersiri, Kamen Rider Hibiki itu ditemui abangnya selepas panggilan te­lefon dan mesej tidak dijawab sejak hujung minggu lalu.

Selain Ashina, beberapa bintang ternama Jepun seperti Haruma Miura dan Hana Kimura turut mengakhiri hidup dengan cara tragis iaitu membunuh diri.

Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik Kebangsaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Kartini Aboo Talib @ Khalid berpendapat, sokongan keluarga sangat penting bagi membantu mereka yang mengalami masalah kemurungan dan tekanan emosi.

“Keluarga adalah insan yang penting untuk berada di sisi dan memberi sokongan moral ketika menghadapi detik sukar yang boleh membawa kepada ketidakstabilan emosi atau mental.

“Justeru, sentiasa bertanya khabar dan mengambil berat sesama ahli keluarga agar masalah ini dapat dibendung atau dihentikan,” tuturnya.

Walau berdentum lirik lagu Gaga dalam 911, ada mesej tersurat sahih yang menyeru orang ramai untuk mendapatkan bantuan penyelamat dan kecemasan dengan mendail nombor yang disebutkan berulang kali itu. Satu panggilan dapat menyelamatkan nyawa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI