fbpx

Jangan menang undi, tapi rakyat tergadai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
MUSTAPA LAKAWA, PENGARANG BERITA KOSMO.

KEPADA pengundi-pengundi Sabah, ingat fakta ini.

Jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ialah 73, jumlah parti bertanding 14, jumlah calon bertanding 447 orang, jumlah pengundi keseluruhan 1.12 juta orang dan jumlah Ketua Menteri yang bakal dilantik ialah seorang.

Kepada pengundi-pengundi Sabah, ingat juga fakta ini (setakat 22 September 2020).

Jumlah kes positif Kluster Benteng LD ialah 624 orang, jumlah kes positif Kluster Selamat ialah 25 orang, jumlah kes positif Kluster Pulau 35 orang, jumlah kes positif Kluster Bangau-Bangau 5 orang, jumlah zon merah ialah tiga daerah, jumlah rakyat Sabah hampir 4 juta orang dan jumlah yang bakal positif Covid-19, tidak diketahui.

Setakat hari ini, tiada siapa dapat meneka dengan tepat parti mana dan calon mana akan menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah. Setakat hari ini juga, tiada mana-mana pihak termasuk

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dapat menjangkakan berapa ramai lagi individu yang bakal disahkan positif kesan penularan pandemik Covid-19 di Sabah.

Bagi parti dan calon bertanding, kempen meraih undi tetap diteruskan dan ceramah menabur janji juga masih dilaungkan.

Isu setempat antara popular dibahaskan. Bermula dari kisah kemiskinan dan kekurangan kemudahan di luar bandar sehinggalah isu-isu Perjanjian Malaysia 1963, cerita royalti minyak dan isu pendatang asing tanpa izin.

Bagaimanapun, kenyataan ‘bodoh’ yang keluar daripada mulut mana-mana calon bertanding juga boleh dijadikan isu oleh parti lawan.

Dengan hanya berbaki dua hari sebelum pengundian pada Sabtu ini, bayangan mengenai siapa yang bakal menang boleh dilihat.

Di atas kertas, Warisan bersama rakan sekutunya mempunyai kelebihan di beberapa kawasan utama khususnya di Pantai Timur Sabah dan kawasan-kawasan bandar utama (majoriti pengundi Cina).

Barisan Nasional (BN) yang didominasi oleh UMNO bersama-sama Perikatan Nasional (PN) pula boleh memenangi kerusi tradisi mereka di kawasan luar bandar dan memiliki majoriti pengundi Islam.

Bagi parti-parti tempatan, mereka banyak bergantung kepada pengaruh pemimpin utama mereka untuk memenangi sekurang-kurangnya satu kerusi DUN.

Namun, di sebalik kesibukan berkempen, ada pihak lain turut berjuang mencari ‘kemenangan’. Anggota keselamatan terus kekal berdiri di sempadan negara.

Kakitangan hospital pula kekal sibuk dengan pertambahan kluster berlaku hampir setiap hari.

Hakikatnya, rakyat mahupun parti-parti politik tiada pilihan. Proses untuk memilih wakil rakyat dan seterusnya membolehkan kerajaan baharu dibentuk perlu dilaksanakan mengikut proses demokrasi.

Namun, sebagai rakyat kita mempunyai pilihan sama ada untuk kekal sihat atau hidup dalam kesakitan. Rakyat juga mempunyai pilihan untuk memilih wakil rakyat terbaik di kawasan mereka.

Kepada bakal-bakal Yang Berhormat, ingat janji-janji kalian. Musim pilihan raya akan berakhir, namun Covid-19 belum ada noktahnya. Jangan sampai kita menang undi, tetapi kesihatan rakyat tergadai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI