fbpx

5 lelaki cemar Sungai Gong dibenar ikat jamin RM400,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AHLI keluarga tidak dapat menahan sebak apabila hakim membenarkan ikat jamin berhubung kes pencemaran Sungai Gong di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada hari ini. Foto oleh ZULFADHLI ZAKI

Oleh NUZULSHAM SHAMSUDDIN

SHAH ALAM – Selepas lapan hari berada dalam Penjara Bentong, Pahang lima lelaki termasuk empat beradik yang didakwa atas pertuduhan melakukan pencemaran air di kawasan perindustrian Sungai Gong, Rawang menarik nafas lega selepas masing-masing dibenarkan ikat jamin RM400,000 oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Norsharidah Awang memutuskan demikian terhadap kelima-lima tertuduh selepas meneliti dan menimbangkan hujah-hujah yang dikemukakan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan.

Lima tertuduh itu ialah empat pengarah sebuah syarikat yang juga adik-beradik Yip Kok Wai, 52, Yip Kok Mun, 58, Yip Kok Kuin, 50, dan Yip Kok Weng, 60, serta seorang pengurus syarikat yang sama, Ho Voon Leong, 59.

“Selepas mengambil kira faktor kesihatan, keseriusan kes, kebarangkalian gangguan terhadap saksi dan kes menarik perhatian awam, mahkamah memberikan perintah berikut, pertama kelima-lima tertuduh diikat jamin masing-masing RM400,00 dengan seorang penjamin.

“Kedua, pasport kesemua tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan ketiga sekiranya tertuduh melakukan kesalahan semasa tempoh ikat jamin, mahkamah akan menarik balik jaminan,” kata  beliau itu ketika prosiding permohonan semakan keputusan Mahkamah Sesyen Selayang yang tidak membenarkan kelima-lima tertuduh diikat jamin.

Dalam prosiding itu pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Asnawi Abu Hanipah dan Noor Husnita Mohd. Radzi manakala pembelaan diwakili peguam Datuk Akberdin Abdul Kader.

Mengikut pertuduhan pertama, kelima-lima tertuduh didakwa dengan niat bersama telah melakukan khianat dengan menyebabkan bahan buangan yang mengandungi bahan berbahaya dari Bengkel Yip Chee Seng&Sons Sdn. Bhd. dilupuskan ke dalam alur air.

Ia kemudian mengalir ke dalam Sungai Gong, Rawang dengan mengetahui bahawa ia mungkin akan menyebabkan susut bekalan air bagi minuman manusia.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 30 tahun atau denda atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa dengan niat bersama telah melepaskan bahan buangan sama dari bengkel sama tanpa lesen yang didakwa mengikut Seksyen 25(1) dan boleh dihukum dibawah Seksyen 25(3) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan denda RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di premis Yip Chee Seng&Sons Sdn. Bhd. Lot 4219, Jalan Batu Arang, Kampung Sungai Dua, Rawang di sini antara 2 hingga 3 September lalu. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI