fbpx
MAYA KARIN

Semangat hijau Maya Karin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-BARU ini penduduk di Lembah Klang dikejutkan dengan situasi cemas apabila bekalan air di beberapa kawasan terpaksa dihentikan ekoran pencemaran yang berlaku di Rawang, Selangor.

Ekoran kejadian tersebut, aktres terkenal, Maya Karin Roelcke, 41, antara yang meluahkan ketidakpuasan berhubung perkara tersebut sehingga menjejaskan kehidupam lebih sejuta penduduk di Lembah Klang.

Belum reda isu air, muncul pula bencana banjir kilat di sekitar ibu kota. Kejadian tersebut sekali lagi menjentik perjuangan ‘hijau’ pelakon yang terkenal sebagai aktivis alam sekitar itu.

Ikuti temu bual bersama pelakon Olympic Dream itu ketika dihubungi HibGlam baru-baru ini.

LAMPIN pakai buang, botol, botol kaca, sisa makanan dan sofa buruk antara yang telah Maya kutip dalam aktiviti pembersihan sungai yang sering dilakukan sejak bertahun lalu.

KOSMO!: Sebagai aktivis yang aktif memperjuangkan isu kelestarian alam sekitar, boleh Maya komen tentang isu bekalan air dan kejadian banjir Lembah Klang baru-baru ini?

MAYA: Jujur saya sangat kecewa dengan isu bekalan air putus dan kejadian banjir yang berlaku di Lembah Klang baru-baru ini. Kekecewaan saya itu bukan sahaja kerana bekalan air dihentikan tetapi lebih kepada perasaan marah terhadap pihak yang telah mencemarkan air sungai.

Banyak punca yang telah dikenal pasti tetapi situasinya masih sama seperti tiada tindakan yang diambil. Sampai bila rakyat Malaysia perlu menghadapi masalah bekalan air dan banjir berulang kali?

Bekalan air bukan sahaja teruk di Lembah Klang tetapi di negeri lain juga seperti Kelantan. Penduduk terpaksa hadapi masalah air kerana ketamakan golongan atasan. Ada juga masalah yang berpunca daripada tangan kita sendiri yang sesuka hati merosakkan bumi tanpa rasa malu seperti buang sampah dan bahan toksik hingga mencemar sumber air.

PERJUANGAN belum selesai. Itu penegasan Maya tentang usahanya menyebarkan kesedaran tentang penjagaan alam sekitar.

Bagaiamana pula tindakan Maya sebagai seorang aktivis berhubung masalah tersebut?
Sejak dahulu, saya aktif menulis pelbagai bentuk mesej kepada pihak berkuasa dan rakyat Malaysia mengenai kepentingan menjaga alam sekitar.
Selalunya saya luah menerusi Twitter.

Saya selalu berpesan agar semua orang wajib jaga alam sekitar dan bersyukur dengan apa yang ada, tetapi apabila nikmat ditarik seketika seperti tempoh hari, barulah semua hendak rasa bersyukur.

Saya gunakan semua platform media sosial untuk luahkan perasaan gembira, sedih atau kecewa dengan situasi bumi kita sekarang.
Kadangkala rasa penat kerana semuanya masih sama sahaja, tetapi saya sudah set dalam kepala, agar jangan mudah putus asa. Perjuangan anda belum selesai!

Apakah antara aktiviti yang anda lakukan untuk membantu mengurangkan kadar pencemaran di negara ini?
Selain aktif dalam media sosial, saya juga kerap membuat kerja-kerja pembersihan solo.
Bukan hendak menunjuk tetapi tangan ini telah mengutip lampin pakai buang bayi, sofa, botol kaca dan sisa makanan yang dibuang ke dalam sungai oleh manusia yang tidak bertanggungjawab.

Semua itu saya pernah kongsikan dari dahulu dan sehingga sekarang. Tetap tiada perubahan dan masih ada segelintir manusia kejam yang menganggap sungai sebagai tong sampah.Saya memang kecewa tetapi itulah realiti pada hari ini.

Apabila bekalan air tercemar, banjir dan bekalan air terputus, barulah semua hendak menuding jari antara satu sama lain. Saya juga pernah cetuskan #mayakarinchallenge dalam media sosial.

Alhamdulillah kempen masih berterusan sehingga kini. Idea itu sekali gus dapat membuatkan semua sedar bahawa jika tiada air yang jernih dan bersih, mereka tidak dapat lakukan cabaran tersebut. Siapa hendak berenang dalam sungai yang kotor?

Ada lagi selebriti yang aktif dalam media sosial mengenai alam sekitar? Adakah anda bekerjasama dengan mana-mana pihak atau pertubuhan berkaitan alam sekitar?
Setakat ini tiada, namun saya terbuka untuk menjalin kerjasama dengan mana-mana pihak yang memerlukan khidmat saya.
Tidak kisahlah sebagai duta, jurucakap atau sukarelawan, saya sedia untuk membantu menyebarkan mesej kesedaran alam sekitar kepada semua.

Apakah harapan anda terhadap isu yang masih belum menemui titik noktah itu?
Harapan saya banyak tetapi satu perkara yang saya inginkan ialah kesedaran cintakan alam semula jadi.

Jangan ambil kesempatan terhadap setiap makhluk bumi, tidak kiralah manusia, haiwan atau tumbuhan.
Pelihara dan jaga bumi untuk kesenangan anak cucu kita kelak.

Mudah kata, kalau kita jaga mereka (alam semula jadi), mereka juga akan lindungi kita daripada sebarang bencana.
Mesej ini saya tujukan kepada semua penduduk bumi khususnya di Malaysia termasuklah ahli politik dan rakyat di negara ini. Penguatkuasaan undang-undang juga perlu diperketatkan lagi selepas ini.

BERITA BERKAITAN