fbpx
Keadaan cermin hadapan kenderaan JPJ yang pecah akibat dibaling objek besi di Pendang tengah hari ini.

Dua anggota JPJ cedera kenderaan dibaling objek besi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR – Dua anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah cedera ringan pada muka selepas kenderaan dinaiki mereka dibaling satu objek besi dipercayai galas bebola di Pendang dekat sini kira-kira pukul 12.30 tengah hari, hari ini.

Pengarah JPJ Kedah, Ismasuhaimi Sharif berkata, kejadian berlaku ketika kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger dinaiki tiga anggota mengiringi tiga lori yang dikenakan tindakan kerana membawa muatan tanah secara berlebihan.

“Ketika dalam perjalanan ke Stesen Timbang JPJ Kuala Ketil, kenderaan JPJ secara tiba-tiba dibaling objek besi dipercayai galas bebola sehingga mengakibatkan cermin hadapan pecah.

“Kejadian mengakibatkan dua anggota cedera ringan pada muka akibat terkena serpihan cermin yang pecah manakala seorang lagi anggota yang duduk di tempat duduk belakang tidak mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kata beliau, anggota sempat melihat dua lelaki tidak dikenali yang menaiki motosikal dari arah bertentangan semasa kejadian berlaku.

“Kita percaya dua lelaki tersebut membaling objek besi tersebut ke arah kenderaan JPJ dengan sengaja,” ujarnya.

Tambahnya, satu laporan polis berhubung kejadian telah dilakukan di Balai Polis Pendang untuk siasatan lanjut. – K! ONLINE