fbpx
MENURUT Hairol Ariffein, objektif utama HDC ditubuhkan untuk meningkatkan nilai eksport halal Malaysia dan pelaburan ke kawasan industri halal.

Medan untuk tingkat nilai eksport halal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

PENSIJILAN halal Malaysia diakui sebagai antara yang terbaik di peringkat global adalah salah satu pemacu utama kepada kejayaan dan perkembangan pesat industri halal di negara ini.

Melihat kepada skop luas industri tersebut, selain menyedari potensi perkembangannya bukan sahaja di peringkat domestik, kerajaan menerusi agensi terbabit dilihat sangat komited untuk meningkatkan nilai eksport halal Malaysia dari semasa ke semasa.

Terbaharu, Halal Development Corporation (HDC) agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) memperkenalkan Halal Integrated Platform (HIP) dalam usaha melebar luas industri halal secara holistik.

HIP yang kini mencapai 70 peratus dan berada pada fasa tiga bakal dilancarkan pada suku pertama tahun 2021, sekali gus menjadi platform yang akan menghimpunkan 200,000 syarikat berkaitan perusahaan kecil sederhana (PKS) tempatan untuk memperkenal serta memasarkan produk mereka dengan lebih ideal dalam ekosistem halal.

Bagi membincangkan secara lanjut berkenaan HIP dan industri halal secara mendalam, wartawan Kosmo! Ahad, SAIRUL ZAMRI MISRANI menemu bual Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffein Sahari di pejabatnya di Menara KPMG, Persiaran Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

KOSMO! AHAD: Boleh nyatakan secara ringkas mengenai tugas dan peranan HDC?
HAIROL ARIFFEIN: Kami ditubuhkan pada tahun 2006 dan merupakan agensi yang mengawal selia semua perkara berkaitan pembangunan ekosistem halal di Malaysia.

Dalam erti kata lain, HDC melaksanakan peranan tersebut menerusi tugasan atau inisiatif sebagai sekretariat kepada Majlis Pembangunan Industri Halal Malaysia yang dipengerusikan Perdana Menteri.

Objektif utama kami adalah untuk meningkatkan nilai eksport halal Malaysia dan pelaburan ke kawasan industri halal.

Boleh tuan terangkan sedikit sebanyak mengenai pasaran halal global buat masa kini?
Apa yang boleh dikatakan, pasaran industri halal semakin mendapat tempat bukan sahaja domestik, malahan di peringkat global.

Mengikut statistik daripada pangkalan data kami, berdasarkan permintaan daripada pengguna Muslim seluruh dunia terhadap produk halal, pasaran halal kita pada ketika ini adalah pada nilai AS$3 trilion (RM12 trilion).

Antara sektor yang terlibat termasuk dari sektor makanan, farmaseutikal, kosmetik, produk penjagaan diri dan baru-baru ini kementerian telah meluluskan standard baharu bagi pengeksportan produk berasaskan peranti perubatan, sekali gus bakal menyumbang dan merancakkan lagi nilai eksport halal tersebut.

Sejauh mana produk tempatan khususnya produk halal Muslim diterima di peringkat global dan adakah wujud skeptikal dalam kalangan negara pengimport?

Bercakap soal skeptikal, sebenarnya ia bukan menjadi isu utama yang perlu dirisaukan kerana logo halal Malaysia merupakan logo paling popular serta diterima ramai di peringkat antarabangsa.

Boleh dikatakan kebanyakan negara menerima baik produk kita terutama berkaitan produk makanan, bahan mentah daripada buah kelapa sawit, farmaseutikal dan kosmetik.

Cuma isu yang berlaku sekarang adalah produk yang kita eksport tidak cukup di pasaran luar disebabkan jumlah peserta industri halal yang terlibat secara global ini tidak banyak (sekitar 20 peratus), sekali gus kurangnya pengeksport dan produk untuk dibekalkan.

Apa itu HIP dan bagaimana ia berfungsi serta objektif penubuhannya?
HIP merupakan projek mega HDC pada tahun ini dan masih lagi dalam proses pembangunan serta sudah memasuki fasa ketiga daripada keseluruhan lima fasa.

Boleh saya katakan, ia sudah mencapai 70 peratus dan bakal dimulakan pada suku pertama tahun hadapan.

HIP sebenarnya merupakan salah satu platform tunggal secara maya yang menyatupadukan semua komponen utama yang ada dalam ekosistem halal di Malaysia.

Dalam erti kata lain, HIP bakal menjadi hab perdagangan dalam talian terbesar yang akan menghimpunkan 200,000 syarikat PKS tempatan yang terlibat dalam pengeluaran produk dan perkhidmatan halal.

Jadi, secara tidak langsung, HIP ini menjadi ‘rumah’ kepada PKS yang berpotensi untuk memperkenal dan memasarkan produk mereka dengan lebih ideal dalam ekosistem halal.

Apakah keunikan dan kelebihan HIP berbanding platform pemasaran online lain?
Usaha untuk melonjak dan mengembangkan pasaran halal ke peringkat global mesti disokong dengan aspek pensijilan halal itu sendiri.

Menerusi HIP, walaupun tanpa sijil halal, mereka masih boleh mendaftar melalui platform ini dan kita akan membantu syarikat atau PKS tersebut untuk mendapatkan sijil halal dan seterusnya berkembang lebih baik dalam ekosistem halal.

Bukan sahaja membantu mendapatkan sijil dan pengiktirafan halal semata-mata, HDC juga akan membantu PKS terlibat dari aspek latihan mengikut modul disediakan.

Bukan itu sahaja, uniknya HIP ini adalah kerana kami menghimpunkan kesemua komponen utama yang terlibat dalam pembangunan ekosistem ini.

Ini termasuk penyertaan lebih 20 rakan kongsi terdiri daripada agensi kerajaan dan pembekal perkhidmatan seperti bank, syarikat insurans, logistik, pemilik kepada aset-aset komersial, pusat zakat, wakaf dan lain-lain.

Ia sekali gus memudahkan PKS dan agensi-agensi tersebut untuk berhubung sesama sendiri.

Boleh tuan nyatakan cabaran utama yang dihadapi pihak HDC dalam memperkenal dan meyakinkan HIP kepada peniaga terlibat?
Berdasarkan rekod yang kami terima daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia, sebanyak satu juta syarikat berdaftar di bawahnya dan daripada jumlah tersebut, 200,000 PKS terlibat secara langsung dalam aktiviti yang berkaitan halal.

Pun begitu, cabaran utama kepada kami hadapi adalah bilangan PKS yang mempunyai sijil halal hanyalah sekitar 7,000 ke 8,000 sahaja.

 

LOGO halal Malaysia yang dikeluarkan oleh Jakim diiktiraf di seluruh dunia. ­–Gambar hiasan.

 

Daripada jumlah itu pula, hanya sekitar 1,500 syarikat sahaja yang mengeksport dan selebihnya hanya menjalankan perniagaan secara domestik sahaja.

Justeru, persoalan yang timbul di sini adalah kenapa PKS tersebut tidak mendapatkan sijil halal dan kebanyakan daripada mereka menyatakan amat sukar untuk memperolehi sijil halal dan itu memang diakui HDC.

Jadi, kami giat menjalankan kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan beberapa pihak berwajib untuk memudah cara supaya PKS di negara ini segera mendapatkan sijil halal.

Pada masa sama, saya lihat kebanyakan PKS pada masa ini tidak nampak kelebihan sijil halal yang secara tidak langsung menjadi tambah nilai kepada produk dan perkhidmatan mereka.

Mungkin tuan boleh kongsikan statistik kejayaan dan nilai eksport produk halal Malaysia ke luar negara ketika ini?
Menerusi HIP, kita menyasarkan nilai eksport halal Malaysia sebanyak AS$100 bilion (RM417 bilion) menjelang 2030 berbanding AS$10 bilion (RM41 bilion) pada masa sekarang.

Sasaran itu sangat penting bagi mengimbangi nilai import halal negara yang kini berjumlah AS$25 bilion (RM104 bilion) dan dijangka akan terus meningkat kepada AS$80 bilion (RM333 bilion) menjelang tahun 2030.

Pada masa ini, saiz pasaran halal global kita sekitar AS$3 trilion (RM12 trilion). Jumlah itu diambil kira berdasarkan permintaan daripada pengguna Muslim sahaja.

Jika ditambah dengan permintaan pengguna bukan Muslim, jumlah tersebut boleh mencapai AS$30 trilion (RM125 trilion) dan angka ini jelas menunjukkan permintaan tinggi terhadap produk halal yang melangkaui aspek agama.

Bagaimana tuan melihat trend perniagaan produk halal sebelum dan selepas penularan Covid-19?
Apa yang boleh saya katakan ia sangat terjejas. Jika kita tengok punca yang menyebabkan ia terjejas adalah pengeluaran produk di kilang tidak berada pada tahap memuaskan dan optimum.

Jika kita lihat, sepanjang Covid-19, banyak syarikat dan kilang gagal mencapai kapasiti pengeluaran yang ditetapkan, sekali gus tidak dapat menampung permintaan tinggi pengguna akhir.

Pada masa sama, rentetan daripada pandemik yang berlaku, banyak syarikat di luar negara mengalami kekangan untuk membekalkan produk kepada pasaran tempatan, selain mengamalkan konsep tidak mahu mengeksport.

Jadi, sebagai negara pengimport utama produk halal dari negara-negara luar termasuk Indonesia, Singapura dan Thailand, kita sememangnya mengalami masalah kekurangan produk halal import terutama sepanjang Covid-19 melanda.

Boleh tuan ulas sedikit mengenai World Halal Conference 2020 Kuala Lumpur (WHC2020) yang bakal berlangsung bulan hadapan?
Secara ringkasnya, WHC2020 ini adalah program tahunan dan platform global yang menghimpunkan pelbagai komponen komuniti dalam ekosistem halal.

Tahun ini merupakan kali ke-12 ia diadakan dan sedikit berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya iaitu diadakan selama satu hari sahaja (6 Oktober). Selebihnya dibuat secara online antara negara terlibat.

Menerusinya, kita bakal membincangkan berkaitan isu-isu yang timbul dalam industri halal bukan sahaja dalam malahan luar negara.

Dari segi kerjasama pula, HDC bakal berkolaboratif dengan negara seperti Jepun, Taiwan dan Korea Selatan untuk mengiktiraf pasar raya mesra Muslim bagi mewujudkan rangkaian pasaran yang lebih luas kepada produk halal Malaysia.

 

BERITA BERKAITAN