fbpx
DIAN HASHIM

Tidak malu promosi diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERGELAR pendatang baharu dalam industri menuntut seseorang artis untuk muncul dengan identiti sendiri. Situasi sama turut menjadi perincian si wanita genit yang menggunakan nama pentas sebagai Dian.

Dian atau nama sebenarnya, Nordiana Shalieza Che Hashim berkata, identiti yang ingin diketengahkan ialah keunikan vokal yang dimilikinya.

“Bagi saya, suara saya susah hendak ditiru dan nadanya tidak sama dengan penyanyi sedia ada di Malaysia. Mungkin inilah identiti yang saya perlu tonjolkan.

“Kalau boleh, saya mahu menjadi penyanyi yang dikenali menerusi genre jazz kerana tidak ramai artis di Malaysia mampu mendendangkan jenis muzik seperti sebegitu,” ujarnya.

Berbicara mengenai buah tangan pertamanya, Aku Wanita, Dian, 21, memberitahu lagu tersebut bercerita kisah hidupnya yang pernah terjerat dalam hubungan bersama lelaki berstatus kekasih orang.

“Secara ringkas, lagu ini tentang diri saya. Kisah sedih yang berlaku ketika usia saya berumur 18 tahun itu diterjemahkan ke dalam lagu ini.

“Rentetan daripada kisah hitam itu, saya jadi trauma dan sukar untuk orang didekati orang. Saya letak satu tembok dalam diri sebab takut pisang berbuah dua kali,” katanya.

Tambah Dian, dia juga ingin menjadikan kisah daripada lagu berkenaan sebagai pengajaran dan peringatan kepada semua lelaki bahawa tidak semua wanita mudah terjerat dengan tawaran cinta mereka.

PENGALAMAN menjalin hubungan cinta dengan lelaki berstatus kekasih orang jadi episod hitam dalam hidup Dian.

“Tidak semua wanita mudah untuk menyerahkan segala-galanya dan cair dengan janji manis lelaki.

“Sejak kejadian tersebut, perkara itulah yang saya pegang sehingga ke hari ini.

“Saya juga agak trauma untuk menjalinkan hubungan dengan mana-mana lelaki ketika ini,” katanya.

Dian yang mula mengorak langkah menerusi program realiti televisyen, I Can See Your Voice Malaysia (ICSYVM) musim pertama itu turut mengakui, tidak malu untuk mempromosikan diri kepada khalayak menggunakan pelbagai platform media sosial.

“Selepas video muzik saya siap dan dilancarkan secara rasmi dalam YouTube, saya terus menyalin pautan video dan kongsi kepada semua rakan, pensyarah dan ahli keluarga.

“Jujurnya, saya hanya sempat menonton video muzik itu selepas beberapa jam dilancarkan kerana sebelum itu saya sibuk berkongsi pautan kepada semua. Memang agak gigih tetapi itu yang perlu saya lakukan,” ujarnya lagi.

Tambah Dian, usaha promosi sebegitu berjaya membuahkan hasil kerana ramai yang memuji single pertamanya.

“Manalah tahu, dalam 100 orang yang kita kongsi, mungkin ada lima individu yang suka dengan nyanyian saya dan ada antara mungkin komposer muzik di luar sana. Mungkin rezeki lain akan muncul daripada perkongsian itu.

“Prinsip saya, jangan malu dengan produk sendiri. Tak salah pun hendak dedahkan diri sendiri kepada umum,” katanya.

Dalam pada itu, Dian mengakui perjalanannya agak sukar untuk menempatkan diri dalam industri, namun tetap percaya dengan rezeki Allah.

“Semua penyanyi baharu yang muncul pada hari ini sangat hebat, ada keunikan masing-masing.

“Apa pun, semuanya bergantung kepada rezeki. Kalau Tuhan sudah tetapkan perjalanan ini untuk saya, saya akan berusaha untuk menjadikannya lebih baik,” tegasnya

BERITA BERKAITAN